HomeIsu tempatanPelajar perlu dimotivasi ikuti PdPR secara konsisten

Pelajar perlu dimotivasi ikuti PdPR secara konsisten

Read Time:2 Minute, 47 Second

LABUAN: Pihak sekolah perlu mengambil inisiatif untuk memotivasi dan menggalakkan murid serta pelajar menghadirkan diri  secara konsisten dalam semua aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Labuan, Abdul Rahman Ahmad, berkata langkah itu perlu berikutan situasi pandemik Covid-19 memberikan pelbagai kesan kepada murid dan pelajar.

Katanya, jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh menyebabkan pelajar tercicir atau ketinggalan dalam pelajaran.

Sehubungan itu, katanya usaha yang diambil SMK Mutiara, di sini memberi penghargaan kepada pelajar yang aktif mengikuti PdPR wajar diberikan pujian dan dicontohi sekolah lain.

“Kehadiran pelajar dalam PdPR sangat penting supaya  mereka tidak mengalami defisit pembelajaran. Walaupun PdPR berbeza jika dibandingkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, namun kita semua perlu menerima hakikat bahawa PdP secara norma baharu ini perlu diterima dengan hati yang terbuka.

“Sehubungan itu, kehadiran anak-anak dalam PdPR  perlu diambil perhatian oleh guru dan ibu bapa,” katanya pada Majlis Penghargaan Murid PdPR (MAPEM 2021) SMK Mutiara yang diadakan baru-baru ini.

Yang turut hadir pada majlis secara maya itu ialah Pengetua SMK Mutiara, Yahya Ahmad Puteh dan Yang Dipertua PIBG SMK Mutiara, Norhani Yusof.

Dalam pada itu, Yahya berkata objektif penganjuran MAPEM adalah untuk menghargai pelajar yang secara aktif dalam PdPR, hadir awal dalam PdPR dan mempunyai kehadiran terbaik sepanjang tempoh PdPR.

Katanya, seramai 76 orang pelajar tingkatan satu hingga lima SMK Mutiara diberikan penghargaan di atas pembabitan mereka secara aktif sepanjang tempoh PdPR.

“Saya mengharapkan kehadiran pelajar akan lebih baik selepas ini memandangkan pelajar akan mula datang ke sekolah selepas 31 Ogos nanti.

“Setakat ini, jumlah kehadiran pelajar SMK Mutiara dalam keadaan yang baik. Hal ini disebabkan sokongan ibu bapa yang sentiasa membantu sekolah dengan memastikan anak-anak mereka hadir sepanjang sesi PdPR.

“Saya percaya semua pelajar dan guru akan lebih bersedia menghadapi sesi PdPR apabila tamat cuti pertengahan penggal kedua nanti,” katanya.

Sementara itu, pelajar terbaik PdPR Tingkatan Lima SMK Mutiara, Mathew Chew Kah Ming, berkata banyak cabaran terpaksa dilalui bahawa sepanjang sesi PdPR khususnya berkaitan aspek mendisiplinkan diri.

Memandangkan PdPR, berlangsung di rumah masing-masing, pada awalnya memang sangat susah untuk menyertai sesi PdPR pada awal pagi tetapi berkat dorongan daripada guru-guru, saya berjaya mengatasi masalah ini. Saya percaya semua pelajar menghadapi masalah ini.

“Selain itu, disebabkan PdPR dijalankan secara maya, kita tidak dapat berkomunikasi secara bersemuka dalam bilik darjah dan ini menyukarkan saya untuk memahami sesuatu topik pembelajaran.

“Namun, mujur ada rancangan pendidikan yang disediakan kerajaan seperti Didik TV yang boleh dijadikan bahan tambahan untuk meningkatkan kefahaman dalam sesuatu subjek mata pelajaran,” katanya.

Seorang lagi pelajar terbaik PdPR Tingkatan Lima SMK Mutiara, Nurain Atiqah Ramblie, berkata pengalaman belajar secara PdPR agak mencabar kerana ia adalah perkara yang baharu.

Namun, katanya pendekatan yang diperkenalkan oleh kerajaan itu secara tidak langsung membolehkannya belajar mengenai penggunaan teknologi.

“Antara tips yang boleh saya  kongsikan dalam menghadapi cabaran PdPR  ialah menetapkan ‘alarm’ dalam telefon supaya kita lebih peka mengenai kelas dan masa bagi satu-satu subjek ketika PdPR supaya kita lebih bersedia sebelum memasuki kelas.

“Selain itu, saya juga memastikan buku-buku sudah ada di atas meja dan kemas kerana ini akan memberikan kita lebih bersemangat untuk memulakan PdPR.

“Saya juga akan membuat tugasan yang diberikan pada waktu malam selain sentiasa peka terhadap jadual harian kelas dan menjadikan jadual kelas sebagai ‘wallpaper’ dalam telefon bimbit saya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

NDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular