HomeUtamaDua Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging & Tenusu Negara Dilancarkan

Dua Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging & Tenusu Negara Dilancarkan

Read Time:3 Minute, 26 Second

PUTRAJAYA : Dua pelan strategik pembangunan industri pedaging dan tenusu negara yang akan menumpukan kepada pelbagai inisiatif dan insentif bagi membangunkan industri ruminan negara dilancarkan hari ini.

Pelan itu adalah Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (BIF PLAN 2021-2025) dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 (DAIRY PLAN 2021-2025).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelan-pelan itu adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk membangunkan industri pedaging dan tenusu melalui pendekatan sistem penternakan yang efisien.

Katanya, ia termasuk peningkatan kapasiti pengeluaran, pengekalan kos pengeluaran yang optimum serta memperkukuh pengurusan di sepanjang rantaian nilai.

“Melalui pelan-pelan ini juga, sasaran pengeluaran daging dan susu segar tempatan dapat ditingkatkan dengan penambahan pengeluaran sebanyak 111,000 tan metrik daging dan 20 juta liter susu segar dapat dicapai dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12)

“Ia juga adalah bagi mencapai sasaran 50 peratus tahap sara diri (SSL) untuk pengeluaran daging dan 100 peratus SSL untuk susu segar menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Ruminan 2021 anjuran Jabatan Perkhdimatan Veterinar (DVS) secara maya, hari ini.  

Dr Ronald berkata, pembangunan lembah tenusu juga akan diteruskan dalam tempoh RMKe-12 di beberapa kawasan baharu termasuk di Lembah Tenusu Selatan di Melaka dan Johor, Lembah Tenusu Borneo di Sabah dan Sarawak, dan Lembah Tenusu Pantai Timur iaitu di Kelantan dan Terengganu.

Katanya, program transformasi usahawan skala besar dan transformasi penternak kecil melalui kaedah bayaran balik (reimbursement) dan geran padanan (matching grant) juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan bilangan populasi induk lembu susu tempatan.

“Bagi industri pedaging pula, program-program seperti Skim Rezeki Ternak bagi penternak kecil, Program Peningkatan Ruminan untuk penternakan integrasi dan pembangunan 67 buah ladang-ladang satelit di Kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPR) serta Projek Pertanian Moden (PPM).

“Program itu dijangka dapat menjadi pemangkin kepada pengusaha-pengusaha penternakan ruminan meliputi skala kecil, semi komersil dan komersil dalam mencapai sasaran pengeluaran 111,000 tan metrik menjelang tahun 2025,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ronald berkata, kementeriannya juga akan memberikan insentif bagi pengukuhan model aktiviti pengeluaran daging di zon-zon khusus bagi projek fidlot ruminan melalui skim pengukuhan rangkaian fidlot dari integrasi dan tenusu (Skim FIT) seperti mana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

Katanya, Lembaga Ruminan Negara yang telah dipersetujui dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) akan ditubuhkan dan dijangka akan beroperasi secara berfasa bermula pada tahun 2022, yang juga selari dengan hala tuju MAFI dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 2021-2030 (DAN 2.0).

“Ia adalah bagi meningkatkan kemampanan dan pertumbuhan industri ternakan serta tahap sekuriti makanan negara untuk hasilan ruminan secara keseluruhannya,

“Kesemua strategi yang dirangka oleh kerajaan memerlukan kerjasama yang erat dan komitmen berterusan semua pihak bersama-sama dengan MAFI dan DVS serta pemain-pemain industri terutama para penternak sebagai pemegang taruh penting,’’ katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Ronald berkata, industri ternakan ruminan di Malaysia merupakan satu industri yang penting sebagai sumber protein negara dan menjadi salah satu industri utama agromakanan negara dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 bernilai RM15 billion.

Katanya, ia juga menyediakan sumber pendapatan yang menguntungkan kepada semua pihak yang terlibat di sepanjang rantaian nilai termasuk penternak, khususnya menerusi pengeluaran daging, telur, susu dan produk hasilannya.

“Berdasarkan kepada keperluan semasa, industri ini sangat berpotensi untuk dikembangkan bagi menjamin bekalan makanan dalam negara dan mengurangkan import memandangkan Malaysia amat bergantung kepada pengimportan daging, susu dan produk tenusu bagi memenuhi permintaan dalam negara,” katanya.

Terdahulu, pada Simposium Ruminan 2021 itu, sebanyak lima kertas kerja dibentangkan yang menyentuh halatuju industri ruminan negara serta program yang dilaksanakan sejak 2020-2021 ketika negara berdepan krisis wabak COVID-19.

Penganjuran simposium ini juga bermatlamat ke arah perkongsian program-program yang telah dijalankan oleh Jabatan dalam pembangunan industri ruminan sepanjang 2020-2021, serta penjelasan mengenai penyakit-penyakit ternakan yang boleh menjejaskan ekonomi serta langkah kawalannya selain penjelasan isu berkaitan haiwan peliharaan.

Pembangunan industri ruminan negara akan terus diperkasakan dalam tempoh RMKe-12 dan MAFI sentiasa meletakkan komitmen yang tinggi dalam perkembangan industri ruminan negara agar bekalan daging segar dan susu segar dapat menampung keperluan tempatan dalam apa jua keadaan.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular