SUKAN : Sabah FC Beraksi Di Terengganu Tanpa 3 Pemain Utama Esok – Kurniawan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 22 Second

KUALA TERENGGANU: Sabah FC terpaksa bermain tanpa tiga tonggak utama menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam esok (Ahad).

Pengendalinya, Kurniawan Dwi Yulianto berkata Alto Linus dan Randy Baruh masing-masing telah mengumpul 3 kad kuning manakala Park Taesu cedera ketika perlawanan menentang Sri Pahang FC tempoh hari.

Katanya beberapa pemain sudah dikenalpasti untuk menggalas tugas utama yang sekaligus akan diputuskan selepas sesi latihan terakhir petang ini nanti.

“Kita harus tetap menghadapi perlawanan Ahad ini (esok) tanpa mereka….saya tetap yakin dengan pemain yang sedia ada.

“Saya rasa mereka juga sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan yang berat lebih-lebih lagi apabila kita akan bermain di tempat lawan.

“Saya harap semua pemain tetap  bersemangat dan yakin untuk menghadapi perlawanan malam esok sekali gus mencapai satu keputusan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Kurniawan berkata, beberapa kesilapan ketika perlawanan menentang Sri Pahang FC sudah dikenalpasti namun usaha keras pemain perlu dilakukan untuk sekurang-kurangnya dapat mengutip mata di tempat lawan.

“Saya selalu menekankan kepada pemain bahawa semua perlawanan adalah sama-sama dipikul dan selalu menganggap semua perlawanan adalah final.

“Dalam perlawanan bola sepak apa-apapun boleh berlaku. Mudah-mudahan kita dapat mencuri mata di gelanggang lawan malam esok,” katanya.

Mengenai kedudukan Liga Super Kurniawan berkata, ketika ini Terengganu menduduki carta kedua liga di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan sembilan kemenangan, tiga seri serta tiga kekalahan mengutip 30 mata.

“Mungkin jika dapat mengutip mata esok sudah tentu akan memberikan semangat untuk menghadapi perlawanan seterusnya menentang Kuala Lumpur City FC pada 4 Ogos depan di Stadium Likas Kota Kinabalu,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *