32 Masjid Di DUN Lumadan Dijadikan Lokasi ‘FoodBank’, Mahu Penduduk Cukup Bekalan Makanan – Ruslan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 22 Second

BEAUFORT : Sebanyak 32 buah masjid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan akan dijadikan sebagai lokasi Bank Makanan (Food Bank) khusus bagi membantu golongan yang memerlukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam berkata, ketika ini sebanyak 10 buah masjid di DUN berkenaan telah diwujudkan FoodBank dibawah program Foodbank Prihatin Lumadan Sejahtera.

“Pada hari ini saya telah melancarkan FoodBank di tujuh buah masjid di DUN Lumadan dan sebelum ini sebanyak tiga masjid lain turut diwujudkan aktiviti seperti ini.  Manakala 22 buah masjid lain juga akan diwujudkan program seumpama ini mengikut fasa.

“Tujuannya adalah bagi memberi kemudahan kepada penduduk yang sangat memerlukan bahan makanan semasa berhadapan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Fasa Kedua khususnya di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Foodbank Prihatin Luimadan Sejahtera disini hari ini.

Antara masjid terlibat ialah Masjid Al-Gaffar Kampung Luagan; Masjid Al-Quthar Kampung Padas Valley; Masjid Kampung Karangan; Masjid Kampung Bukau; Masjid Wahdatul Ummah Kampung Maraba; Masjid An-Nur Kampung Lingkungan dab Masjid Muttaqin Kampung Lubok.

Tiga lagi masjid lain yang sudah diwujudkan FoodBank adalah Masjid Lupak tuhu; Masjid Padas Damit dan Masjid Pekan Weston.

Ruslan berkata, pewujudan Foodbank berkenaan juga adalah bagi memastikan tidak ada penduduk yang menaikkan bendera putih akibat kekurangan bekalan.

“Kita mahu semua penduduk di DUN Lumadan khususnya mempunyai bekalan makanan mencukupi dan ini juga adalah salah satu inisiatif kita wujudkan Foodbank di masjid-masjid disini.

“Bagi penduduk yang mahu mendapatkan bekalan, tiada syarat dikenakan, semua layak untuk mendapatkan bekalan tanpa melihat agama mahupun fahaman politik,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan sumbangan dari pelbagai pihak untuk mengisi bekalan makanan di setiap Foodbank berkenaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *