Suspek disyaki pengedar dadah jenis syabu ditahan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 4 Second

BEAUFORT: Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menahan seorang suspek lelaki disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah di Kg Brunei, Membakut dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, bertindak atas maklumat, pasukan BSJN IPD Beaufort diketuai oleh Asisten Superintenden Polis (ASP) Enjang Maih membuat serbuan pada 3 Ogos 2021, jam 6.00 petang telah menahan seorang suspek lelaki yang disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah tidak bernombor di Kg Brunei, Membakut.

Katanya, hasil dari serbuan itu, pemeriksaan badan ke atas suspek dibuat dan telah menjumpai satu kotak rokok jenama DUNHILL berwarna biru dan setelah dibuka terdapat dua plastik lutsinar sederhana besar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu, anggaran berat 5.09 gm.

Manakala, saringan ujian air kencing terhadap suspek turut mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Berikutan dengan penahanan, hasil siasatan lanjut suspek yang berusia 23 tahun dan tidak bekerja itu didapati mempunyai tiga kes jenayah lampau juga berkaitan dengan kes penyalahgunaan dadah dan suspek mengaku terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis syabu sejak awal tahun 2021 kerana tiada punca pendapatan.

Suspek kini ditahan di lokap IPD Beaufort dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *