Akta FAMA Akan Dipinda Bagi Perluas Skop Terhadap Pemasaran Komoditi Ternakan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bakal membuat pindaan kepada Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 1965 (Akta 141) untuk memberikan kuasa kepada agensi itu mengedar dan memasarkan komoditi ternakan dalam pasaran negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pindaan itu akan dibawa ke sidang Parlimen bagi memperluaskan lagi skop FAMA terhadap pemasaran komoditi dan produk ternakan menerusi rantaian pemasarannya yang luas.

“Ketika ini, Akta 141 mempunyai bidang kuasa yang terhad yang mana tafsiran keluaran pertanian (agricultural produce) dalam seksyen 1A hanya memperuntukkan keluaran pertanian tertentu dan tidak termasuk komoditi ternakan.

“FAMA juga akan mengambil peranan untuk turut mengedarkan komoditi ternakan serta menstabilkan rantaian bekalan bagi memastikan bekalan ternakan sentiasa berada di dalam pasaran serta rantaian bekalannya tidak terganggu,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan kerja membina Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah dan Penyampaian Sumbangan MAFI Prihatin di Pejabat FAMA Negeri Sabah disini pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah FAMA Negeri Sabah Ribin Wahid.

Ronald Kiandee dalam sidang media selepas meninjau pelaksanaan kerja membina Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah dan Penyampaian Sumbangan MAFI Prihatin di Pejabat FAMA Negeri Sabah disini pagi tadi. FOTO IHSAN MAHA

Dalam pada itu, Dr Ronald berkata, Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah yang dijangka siap pada bulan Ogos 2022 ini adalah sebahagian daripada Pelan Perancangan Pembangunan Kompleks Pemasaran FAMA @ KKIP (2021 – 2025).

Katanya, pembinaan itu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM5 juta.

“Pusat ini juga dijangka mampu memproses 1,500 tan metrik durian, 288 tan metric kelapa, 240 tan metrik nanas MD2, 960 tan metrik sayuran kobis menjelang tahun 2025 bagi pasaran tempatan dan eskport.

“MAFI melalui FAMA sentiasa memberikan perhatian khusus terhadap aspek pemasaran keluaran hasil pertanian selaras dengan penekanan yang akan diberikan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) untuk memperkukuh akses pasaran bagi hasil keluaran permintaan tinggi dan berorientasikan eksport,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *