Ibubapa bina pondok atas pokok untuk anak ikuti PdPR ekoran capaian internet yang lemah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 5 Second

RANAU: Ibu bapa di tiga buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan terpaksa membina sebuah pondok di atas pokok bagi memberi kemudahan kepada anak mereka mengikuti pembelajaran dalam talian.

Ini kerana capaian internet yang lemah dan tidak stabil menyebabkan anak-anak mereka terpaksa mencari lokasi yang lebih tinggi.

Antara kampung terlibat adalah Kampung Sosondoton, Kampung Torolobou dan Kampung Ratau.

Salah seorang penduduk, Saifuddin Abdullah berkata, penduduk terlibat telah mengemukakan surat rasmi permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenalpasti kelemahan capaian internet di kawasan berkenaan.

“Kami telah mengajukan surat rasmi kepada SKMM beberapa tahun lalu namun sehingga kini kami belum menerima sebarang perkembangan positif berhubung masalah capaian internet.

“Justeru itu, kami terpaksa mencari alternatif lain membina pondok atas pokok agar anak-anak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian,” katanya kepada Sabah Media disini hari ini.

Katanya yang mengakui pembinaan pondok itu akan memberi risiko terhadap anak-anak mereka namun terpaksa berbuat demikian bagi memastikan sesi pembelajaran dan ulangkaji berjalan lancar.

“Anak-anak kami amat memerlukan capaian internet yang baik agar sesi pembelajaran mereka berjalan lancar kerana kita belum tahu bila sesi sekolah secara bersemuka akan dibuka.

“Justeru itu kami memohon pihak berwajib termasuk pemimpin setempat khususnya wakil rakyat kami agar dapat membantu mengatasi masalah ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *