PICK : Sabah Akan Terima Bekalan Vaksin Dos Tunggal Jenis Cansino

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

KUDAT : Sabah akan menerima bekalan vaksin sebanyak 200,000 dos vaksin jenis Cansino yang dijangka tiba di negeri ini minggu hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata,  kerajaan negeri sebelum ini merayu kepada kerajaan persekutuan melalui Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin agar vaksin dos tunggal dibekalkan ke Sabah.

“Baru-baru ini kita telah mengadakan mesyuarat secara maya dengan YB (Yang Berhormat) KJ menteri yang bertanggungjawab kepada pembekalan vaksin COVID-19 di Malaysia. 

“Walaupun atas permintaan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah kita minta sebanyak 1.8 juta dos vaksin tetapi bekalan pertama akan sampai sebanyak 200,000 dos Cansino,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan Pemasangan Perkhidmatan  ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) ‘CONNECTme NOW’ serta Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan akan terus mendapatkan vaksin yang banyak bagi diberikan kepada rakyat di negeri ini bagi melawan penularan jangkitan COVID-19.

Katanya, ini merupakan cabaran yang dihadapi termasuk mendapatkan bekalan vaksin kepada rakyat selain mahu pematuhan prosedur standard operasi (SOP) terus dipatuhi.

“Pada ketika ini kita minta rakyat untuk tidak membuat upacara keramaian ataupun apa juga acara yang boleh mengumpul ramai orang, dengan cara ini kita mampu membantu melandaikan COVID-19 di Sabah.

“Kita juga bimbang sejak seminggu dua ini peningkatan jumlah kes begitu ketara sekali.  Walaupun terdapat sekatan jalan raya (SJR) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan kampung, tapi keadaan masih lagi sama,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *