‘Rakyat Didahulukan’, Semua Pihak Perlu Bekerjasama Dan Mengenepikan Perbezaan Fahaman Politik – Maximus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Berdasarkan keadaan politik negara ketika ini, semua pihak perlu bekerjasama dan mengenepikan perbezaan fahaman politik, sesuai dengan slogan ‘rakyat didahulukan’.

Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin petang tadi, bahawa tanggungjawab yang lebih penting adalah membendung penularan Covid-19, menyelamatkan nyawa dan memulihkan ekonomi negara.

“Ini bukan masanya untuk bertengkar soal siapa yang patut menjadi Perdana Menteri. Kita boleh menyelesaikan masalah itu melalui pilihan raya umum dengan mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

“Namun, ini bukan masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya. Rakyat berhak mendapat perkhidmatan yang lebih baik daripada pihak kerajaan, dan bukannya pergi mengundi, terutamanya ketika pandemik Covid-19 masih ditahap yang membimbangkan,” katanya.

Menurut Maximus, tujuh cadangan kerjasama yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, demi kestabilan negara, harus dipertimbangkan secara positif oleh semua pihak. Ini adalah peluang untuk membina kerjasama antara parti dan mengembalikan negara ke landasan yang lebih stabil dalam memulihkan kesihatan dan ekonomi negara.

“Saya menyeru kepada rakan-rakan saya dari pihak pembangkang untuk merebut peluang ini dan mendahulukan keperluan negara dan mengutamakan kestabilan ekonomi, serta politik dan bersama membawa negara ini maju ke hadapan sebagai tanda komitmen solidariti kita,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *