PICK : Meskipun Tangguh Namun Tetap Semangat Untuk Terima Vaksinasi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU : “Gembira dapat tarikh janji temu vaksinasi namun saya terpaksa tangguh dahulu untuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” kata penerima vaksin COVID-19, Azwaani Mustafa,39.

Beliau mengakui terpaksa menangguhkan janji temu itu disebabkan baru beberapa hari selesai bersalin di Hospital Papar dan perlu menjalani tempoh berpantang dirumah.

Katanya, dia mendapat tahu tarikh janji temu itu pada 22 April dan perlu hadir ke PPV Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 pada 7 Mei lalu namun atas nasihat keluarga dia terpaksa memohon untuk penangguhan.

“Ketika menerima tarikh janji temu itu melalui aplikasi MySejahtera, saya baru beberapa hari dibenarkan keluar hospital dan perlu menjalani tempoh berpantang. 

(Gambar Kiri) Tarikh Janji Temu Yang Diterima Sebelum Memohon Penangguhan, (Gambar Kanan) Tarikh Janji Temu Baharu

“Memang diakui rasa gembira dapat tarikh selepas menunggu hampir tiga bulan dimana saya mula mendaftar pada 23 Februari lalu namun saya terpaksa menangguhkan sementara atas nasihat keluarga,” katanya kepada Sabah Media disini hari ini.

Katanya, selepas membuat permohonan penangguhan, dia mendapat tarikh baharu vaksinasi pada 28 Julai lalu di PPV Rafflesia Medical Centre bagi dos pertama.

“Dalam tempoh penangguhan itu, memang saya ada kerisauan sebab agak lama menunggu tarikh janji temu vaksinasi yang baru.  Namun syukur diberi tarikh 28 Julai lalu bagi dos pertama dan 18 Ogos ini bagi dos kedua.

“Apabila menerima suntikan dos pertama itu, saya rasa lega dan lebih selamat bagi melindungi anak-anak dan keluarga saya,” katanya.

Dalam pada itu, Azwaani turut memuji inisiatif kerajaan dalam melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan rakyat di Malaysia khususnya di negeri ini dilindungi dari jangkitan COVID-19.

“Program ini sangat bagus dan perlu dipercepatkan pemberian vaksin kepada semua rakyat Malaysia untuk mengurangkan jumlah kes dan kematian yang teruk, sekaligus aktiviti kehidupan harian dan ekonomi akan cepat kembali normal,” katanya.

Azwaani turut meminta agar golongan ibu mengandung segera untuk mengambil vaksinasi khususnya yang sudah mencapai trimester ketiga.

“Risiko bagi ibu yang mengandung pada trimester ketiga ini lebih tinggi, bagi yang belum mendaftar ataupun belum mendapat vaksinasi, segeralah berbuat demikian bagi menyelamatkan diri dan anak dalam kandungan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *