HomeSukanSedia Galas Tanggungjawab Bagi Hadiah Pingat Emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020

Sedia Galas Tanggungjawab Bagi Hadiah Pingat Emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020

Read Time:1 Minute, 17 Second

KUALA LUMPUR: Pemain badminton para lelaki negara, Cheah Liek Hou sedia menggalas tanggungjawab bagi menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia menjelang Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan bermula 24 Ogos ini.

Pemain berusia 33 tahun itu berkata, dia yakin mampu merealisasikan misi berkenaan berdasarkan peningkatan prestasi sepanjang dalam latihan selain kejayaan muncul juara dalam Kejohanan Para Badminton Antarabangsa sebanyak enam kali berturut-turut sejak 2019 sehingga 2021.

Dia yang berada di kedudukan ranking nombor dua dunia muncul juara pada kejohanan di Denmark, Jepun, Brazil, Peru, Emiriah Arab Bersatu dan Sepanyol.

“Sejak saya pulang dari Sepanyol (Mei lalu) dan tamat tempoh kuarantin, saya terus menjalani latihan. Kini, sudah dua bulan setengah saya tidak pulang ke rumah dan memang fokus terhadap latihan saja.

“Ini adalah kali pertama sukan badminton akan dipertandingkan di Sukan Paralimpik… jadi, saya agak teruja untuk beraksi.

“Sebelum ini sasaran saya adalah mara ke final tetapi nampak ada kemajuan selain pencapaian sejak kebelakangan ini yang positif. Jadi, saya tukar sasaran saya daripada perak ke emas.

“Cuma, sekarang ini saya perlu fokus kepada latihan dan berharap tiada masalah kecederaan,” katanya yang dibimbing legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek.

Liek Hou yang akan beraksi dalam kategori SU5 (berdiri/ kemerosotan anggota badan atas), berkata dia juga ada meminta ‘ilmu’ tambahan daripada dua pemain badminton kebangsaan, Chan Peng Soon dan Aaron Chia terutamanya berhubung tekanan kali pertama beraksi di temasya terbesar dunia itu.

“Saya minta mereka kongsikan pengalaman mereka kali pertama beraksi di Sukan Olimpik. Jadi, dari situ saya akan ikut nasihat mereka untuk mengatasi tekanan,” katanya. – BH

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah mahu kekalkan kejuaraan Liga Wanita Nasional

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular