Ab Ghani Presiden Baharu MFL

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

PETALING JAYA: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Ab. Ghani Hassan dipilih sebagai presiden baharu badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Pelantikan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL hasil mesyuarat khas hari ini, selepas menerima surat peletakan jawatan daripada Hamidin bertarikh 12 Ogos lalu.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Joehari Ayub yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan secara dalam talian berkata, semua tujuh Ahli Lembaga Pengarah yang bersidang sebulat suara bersetuju dengan pelantikan Ghani.

Joehari berkata, beliau bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL menghormati keputusan Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melepaskan jawatan selain percaya Ab Ghani dapat mengisi kekosongan itu dengan baik berdasarkan pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak.

“Hamidin mengotakan janjinya yang mana beliau sendiri menyatakan untuk melepaskan jawatan Presiden MFL ketika berucap dalam Kongres FAM ke-57 pada Mac lalu.

“Kami barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL mengakui sedih dengan keputusan ini tetapi kita harus menghormati keputusan yang dibuat oleh Hamidin.

“Kami amat berterima kasih di atas segala sumbangan dan komitmen tinggi yang diberikan oleh Hamidin sepanjang menerajui MFL.

“Pemilihan Ab Ghani sebagai Presiden MFL baharu dilihat satu langkah dinamik yang mana beliau sendiri adalah CEO MFL dan lebih arif dalam sistem pengurusan Liga Malaysia ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamidin dipilih sebagai Presiden MFL selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatan selaku Pengerusi MFL pada September 2019.

Sepanjang menjadi Presiden MFL, Hamidin berjaya membawa masuk kembali penaja utama, Telekom Malaysia (TM) selain penaja baharu CIMB Bank yang julung kali menjadi penaja utama saingan Liga Super pada tahun lalu serta berusaha keras memastikan kelangsungan Liga M 2021 selepas kalendar Liga M 2020 terpaksa dipendekkan akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ab Ghani pula sudah bersama dalam pengurusan tertinggi MFL sejak 17 April 2019 apabila dipilih menjadi Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Beliau kemudian dilantik sebagai CEO MFL pada 1 Mac 2020 yang mana sebelum itu beliau hanya bertindak sebagai pemangku CEO MFL secara sementara pada 1 Disember 2019 susulan peletakan jawatan Kevin Ramalingam.

Dalam perkembangan sama, Joehari memaklumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah MFL akan mengumumkan calon CEO MFL baharu dalam tempoh terdekat bagi menggantikan Ab Ghani.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *