HomeIsu tempatanIbu Hamil Disaran Dapatkan Vaksin Covid-19

Ibu Hamil Disaran Dapatkan Vaksin Covid-19

Read Time:2 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU: Golongan berisiko khususnya ibu hamil disaran untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19 kerana ia mampu memberi manfaat bagi melindungi diri dari terkena jangkitan virus tersebut.

Bekas pengamal media, Avila Geraldine Samuel, 35, yang baharu saja bergelar ibu setelah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 sebulan sebelum melahirkan bayinya di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) disini baru-baru ini.

Katanya, meskipun baru melahirkan bayi sulungnya pada 5 Ogos lalu, dia mengakui tidak dapat bersama bayi yang baru dilahirkan kerana masih menjalani kuarantin di rumah.

“Saya sekarang menjalani kuarantin dirumah sehingga 19 Ogos ini selepas keluar dari hospital pada Sabtu. Saya berada di hospital selama 10 hari.

“Selama saya berada di wad, saya terdedah kepada dua orang ibu yang positif COVID-19 dalam satu bilik saya,” katanya kepada Sabah Media disini hari ini.

Katanya, ujian calitan COVID-19 akan dilakukan untuk semua ibu sebelum masuk wad dan pesakit akan ditempatkan berdasarkan keputusan ujian tersebut.

“Ujian calitan COVID-19 saya negatif, saya ditempatkan di dalam satu wad yang mempunyai enam katil, pada mulanya semua baik-baik saja tetapi keesokan harinya, seorang ibu di bilik yang sama kelihatan pucat, mula batuk tidak berhenti dan hampir pengsan, saya fikir dia tercekik makanan atau minuman, selepas itu kakitangan perubatan bergegas menghantarnya untuk pembedahan kecemasan.

“Pada 5 Ogos, saya melahirkan bayi lelaki tetapi tidak dapat berjumpa bayi saya kerana dia dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonatal untuk memantau pernafasan. Bayi saya telah keluar wad pada 11 Ogos dan dibawa balik oleh suami saya. Saya belum menyentuh bayi saya dan hanya melihatnya melalui panggilan video.

“Selepas melahirkan, saya kemudian ditempatkan di wad dua katil. Pada petang itu, seorang ibu muda dari wad pertama saya juga ditempatkan di bilik saya untuk kuarantin.

“Dia adalah kontak paling dekat kerana tempat tidurnya hanya di sebelah ibu yang batuk. Kami diberitahu ibu yang batuk tersebut diuji positif Covid-19,” katanya sambil menambah mereka yang berada di wad yang sama mesti diuji dan dikuarantin.

Ujian calitan ulangan Avila kembali negatif tetapi ibu lain dijangkiti virus Covid-19. Kuarantin Avila dilanjutkan berikutan pendedahan kes kedua.

“Saya tidak tahu apa status kedua ibu positif Covid-19 tetapi saya mendapat tahu bahawa semua ibu dari wad pertama saya dijangkiti Covid-19, kecuali saya. Sebilangan besar keputusan positif hanya ditunjukkan pada ujian calitan kedua mereka.

“Difahamkan, saya adalah satu-satunya ibu yang diberi vaksin sepenuhnya pada masa itu. Bagaimana jangkitan itu berlaku? Tidak ada idea, tetapi kita sedang berada di antara virus itu sekarang.”

Pada mulanya, Avila mengakui ragu-ragu mengenai pengambilan vaksin itu, takut ia akan mempengaruhi bayinya. Namun dia berubah fikiran setelah mendapatkan nasihat perubatan dan banyak membaca mengenai peningkatan kes Covid-19 di kalangan wanita hamil.

“Vaksin melindungi. Jadi, jika anda mengenali orang yang sedang hamil, tolong beri nasihat dan dorong mereka untuk segera diberi vaksin,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

FSSK UMS jayakan seminar pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular