COVID-19: Jumlah Kes Tertunggak Dan Saringan Kontak Rapat Punca Peningkatan Kes Tinggi di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu di Sabah terus melonjak ke paras yang amat tinggi iaitu 2,413 kes, dengan peningkatan sebanyak 310 lebih tinggi berbanding semalam (17 Ogos 2021) selain 18 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu enam kes di Tawau, lima kes di Kota Kinabalu, empat kes di Sandakan dan masing-masing satu kes di Penampang, Tuaran dan Kunak.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes tinggi adalah meliputi keputusan saringan tertunggak (backlog) sebanyak 258 kes atau 10.7% daripada kumulatif kes hari ini.

Kata Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri menyatakan bahawa Daerah Kota Kinabalu mencatatkan 594 kes baharu dengan penambahan 127 kes berbanding semalam, Tawau 348 kes, Penampang 177 kes, Tuaran 174 kes, Sandakan 150 kes, Keningau 153 kes, Lahad Datu 125 kes, Sipitang 82 kes, Tenom 82 kes, Kalabakan 47 kes, Ranau 16 kes dan Telupid 18 kes.

Walau bagaimanapun, Saringan Kontak Rapat kekal penyumbang utama kepada kes-kes harian di Sabah dengan 1,410 kes atau 58.4%, Saringan Bergejala 538 kes atau 12.3% dan daripada Saringan Kluster sebanyak 233 kes atau 9.6% dari kumulatif kes hari ini.

Mengenai jumlah kes kategori pesakit yang terlibat iaitu 1,363 kes atau 56.5% daripada 2,413 kes hari ini merupakan pesakit Kategori 2, 1026 kes atau 42.5% adalah merupakan Kategori 1, 11 kes dalam Kategori 3, tiga kes dalam Kategori 4 dan lima kes dalam Kategori 5.

Dalam perkembangan lain, setakat kelmarin, 48.4% penduduk dewasa negeri Sabah telah pun memperolehi satu dos vaksin dan 24.7% telah melengkapkan pengambilan dua dos.

Sementara itu satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Sungai Pin 2, Kinabatangan yang dikategorikan sebagai kluster tempat kerja.

Kes indeks merupakan pekerja wanita, 52, warganegara Indonesia di sebuah ladang sawit berdekatan Sungai Pin, Daerah Kinabatangan.

Setelah bergejala sejak 10 Ogos 2021, kes indeks disahkan positif COVID-19 (RTK-Ag) di Klinik Kesihatan Batu Putih, Kinabatangan dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya dan setakat ini, 20 kes positif COVID-19 telah dilaporkan termasuk 19 kes baharu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *