5 Lelaki Warga Asing Dihukum Penjara 8 Bulan Miliki Barang Kawalan Berjadual Tanpa Lesen

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Lima lelaki warganegara asing telah dijatuhkan hukuman penjara masing-masing bagi tempoh 8 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, kerana memiliki barang kawalan berjadual yang terdiri daripada gula pasir, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair dan minyak petrol tanpa lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, KPDNHEP Cawangan kudat, Geoffrey Gumalang dalam kenyataannya hari ini berkata, Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Elsie Primus telah menjatuhkan hukuman penjara bagi tempoh 8 bulan selepas tertuduh bagi kes pertama dikenali dengan nama Mohamad Zikran Mohamad mengaku salah terhadap pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual iaitu gas petroleum cecair sebanyak 224kg dan minyak petrol sebanyak 1,605 liter di dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa suatu kesalahan telah dilakukan iaitu berurusniaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh KPDNHEP.

Manakala bagi kes kedua, tertuduh yang dikenali sebagai Namrud Nuraif bersama-sama Lannang Namrud telah mengaku salah terhadap pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual tanpa lesen iaitu tepung gandum sebanyak 500 kg, minyak masak sebanyak 952 kg, gula pasir sebanyak 24 kg dan minyak petrol sebanyak 595 liter di atas sebuah perahu jenis “pump boat” tanpa nombor pendaftaran di perairan kawasan laut utara Pulau Banggi, Kudat, Sabah.

Seterusnya bagi kes ketiga, tertuduh dikenali sebagai William Hamja bersama-sama Nurhalim Hamja telah dijatuhkan hukuman penjara masing-masing bagi tempoh 8 bulan selepas mengaku salah memiliki gas petroleum cecair sebanyak 140 kg, minyak masak sebanyak 68 kg, gula pasir sebanyak 156 kg dan minyak petrol sebanyak 450 liter tanpa lesen.

Justeru itu mahkamah seterusnya juga telah memerintahkan agar semua barang rampasan kes ini dilupuskan oleh pihak pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima orang tertuduh bagi kes ini telah melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 3 (1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara runcit tanpa lesen yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga kes ini telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDNHEP Sabah yang juga adalah merupakan Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah KPDNHEP Cawangan Kudat iaitu Geoffrey Gumalang manakala Pasukan Polis Marin (PPM) adalah merupakan pasukan serbuan bagi semua tiga kes yang terbabit.

KPDNHEP Sabah juga mengucapkan terima kasih kepada PPM Sabah terhadap kes yang dihasilkan serta kerjasama yang telah diberikan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *