JPKK Perlu Bersikap Adil, Prihatin & Ikhlas Memimpin Kampung

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 2 Second

TAMPARULI: Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) diingatkan agar bersikap adil, prihatin dan ikhlas dalam menjalankan tugas memimpin kampung.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, para pemimpin JPKK perlu menyimpan niat di dalam hati untuk jujur, prihatin, adil, dan ikhlas menjalankan amanah serta tugasan yang diberi.

“Jadilah pemimpin yang berdedikasi, menjadi sebahagian daripada penyelesai masalah dan sebagai contoh kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JPKK Kawasan N.14 Tamparuli di Bilik Mesyuarat Kelab Tamparuli Sabah (KTS) disini hari ini.

Hadir sama, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Madin Anak, Penolong Pegawai (Pembangunan) Tamparuli Jefferson Jonathan, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah Jilias Lintar, Pegawai Kerja Pejabat Daerah Kecil Tamparuli Joana Sinteh dan pemimpin masyarakat Tamparuli.

Katanya, pemimpin yang diberi kepercayaan seharusnya bersedia untuk menghadapi apa sahaja cabaran dalam tugasan mereka sebagai Pengerusi JPKK dan bijak untuk menyelesaikan sebarang masalah.

Malah katanya, Pengerusi JPKK sepatutnya menjadi orang terawal yang lebih tahu apa sahaja permasalahan di kampung masing-masing.

Justeru, kerjasama antara Pengerusi JPKK dan Ketua Kampung, turut memainkan peranan kejayaan pengurusan dan pelaksanaan apa sahaja program yang dirancang.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, menegaskan bahawa, tiada unsur pilih kasih kepada mana-mana penduduk yang layak mendapat sesuatu bantuan di kampung, dan tidak seharusnya memandang mereka dari sudut fahaman politik.

“Politik memainkan peranan paling akhir dalam soal pemilihan seseorang dari segi bantuan kerajaan, dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa badan JPKK untuk menyediakan laporan bilangan penduduk yang sudah divaksinasi, dan mereka yang belum menerima suntikan vaksin di kampung masing-masing.

Katanya, ini bagi memudahkan pihak kepimpinan mengenal pasti penduduk yang perlu dibantu untuk menerima suntikan vaksin.

“Sediakan laporan dalam bentuk bilangan, berapa ramai penduduk sudah mendapat dos pertama, kedua dan mereka yang belum divaksinasi, kerana data yang paling tepat adalah daripada pihak JPKK sendiri,” katanya.

“Peranan kita adalah untuk memerangi penyakit ini, bagaimana kita memerangi, adalah dengan memastikan setiap penduduk divaksinasi dan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” tambah Jahid.

Terdahulu, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, menyeru kepada pemimpin JPKK untuk membantu dalam merealisasikan hasrat dan aspirasi kerajaan, sesuai slogan ‘Sabah Maju Jaya’.

“Anda merupakan mata dan telinga, serta jentera kerajaan di peringkat akar umbi bagi memastikan pembangunan di kampung masing-masing dapat dilaksanakan dengan jaya,” katanya.

Seramai 16 orang Pengerusi JPKK baharu dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli yang hadir menerima watikah tersebut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *