PICK : 2.67 Juta Dos Vaksin COVID-19 Diperlukan Sabah Tampung Keperluan Vaksinasi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU : Sabah masih memerlukan bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 2.67 juta dos bagi menampung keperluan penduduk yang belum divaksin selain belum melengkapkan suntikan kedua.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah itu hanya untuk pemberian vaksin kepada penduduk dewasa dan belum melibatkan penduduk berusia 12 hingga 17 tahun.

“Kita juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas keprihatinan pemberian bekalan
vaksin yang diperlukan. Bekalan vaksin sebanyak 1,056,360 dos pada bulan Julai diikuti 1,650,510 dos pada bulan Ogos dan 765,920 dos sehingga 5 September telah dapat melonjakkan aktiviti pemberian vaksin dan meningkatkan kadar peratusan penduduk diimunisasi.

“Berdasarkan bilangan baki penduduk yang belum menerima vaksin dan jumlah penduduk yang masih menunggu dos kedua, Sabah masih memerlukan bekalan vaksin yang agak banyak iaitu 2,672,645 dos,” katanya.

Beliau berkata dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Sabah di Menara Kinabalu disini hari ini.

Hadir sama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Hajiji berkata, sehingga 4 September lalu, seramai 122,190 orang penduduk berusia 18 tahun ke bawah di Sabah telah mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi sistem MySejahtera.

“Bagi tempoh sehingga 4 September, peratusan penduduk dewasa yang lengkap menerima vaksin telah meningkat kepada 44.8 peratus sementara peratusan penduduk Sabah yang telah menerima dos pertama adalah 63.7 peratus.

“Kerajaan negeri juga yakin dengan kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berjumlah 83,140 orang sehari dan pelaksanaan program outreach ke kawasan terpencil, sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk diberikan imunisasi akan tercapai pada bulan depan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Khairy Jamaluddin, atas lawatan kerjanya yang pertama ke Sabah sebagai Menteri Kesihatan selepas dilantik menerajui Kementerian Kesihatan pada 27 Ogos lalu.

“Saya ingin merakamkan tahniah kepada Khairy yang kini menerajui Kementerian Kesihatan. Lawatan Menteri Kesihatan ke Sabah turut membawa berita gembira kepada negeri ini terutamanya berkaitan peningkatan aktiviti vaksinasi bagi vaksin CanSino melalui mobile outreach .

“Selain itu penambahan peralatan perubatan ke Sabah melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti silinder oksigen, kotak Oxygen Regulator dan ubat-ubatan COVID-19 yang dijangka tiba dalam minggu ini,”katanya.

“Begitu juga dengan penambahan ambulan dan pegawai perubatan. Justeru, kerajaan negeri ingin merakamkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan khususnya kepada Menteri Kesihatan,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *