Kibar Jalur Gemilang Semarak Jiwa Merdeka

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:53 Second

PAPAR: Penduduk daerah Papar digesa mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing bagi menyemarakkan jiwa kemerdekaan.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.29 Pantai Manis, Mohd Tamin Zainal berkata, ia merupakan salah satu cara memperingati hari bersejarah negara kita.

“Sambutan yang biasanya disambut meriah tidak lagi dapat dilaksanakan semenjak pandemik Covid-19 melanda negara kita.

“Oleh yang demikian, saya meminta agar penduduk daerah ini mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing bagi menzahirkan semangat patriotisme meski berada dalam fasa yang mencabar ini,” katanya dalam Program Merdeka @ Komuniti di Dewan Kg Kelanahan, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menyatakan penghargaan kepada Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah yang tidak pernah jemu mengadakan program seumpamanya setiap tahun.

Pada program berkenaan, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa hadir mengagihkan bendera kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) lima buah kampung (Kg) iaitu Kg Kelanahan, Kg Takis, Kg Kelanahan Rimba, Kg Takis Tabasan dan Kg Andus.

Turut disampaikan adalah 50 buah bakul makanan daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Pantai Manis serta Jabatan Penerangan Daerah Papar. – PENERANGAN

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *