HomeUtamaKerajaan Naikkan Kadar BWI Bagi Setiap KIR Yang Terjejas Ketika Monsun Timur...

Kerajaan Naikkan Kadar BWI Bagi Setiap KIR Yang Terjejas Ketika Monsun Timur Laut

Read Time:2 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau yang terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif BWI itu dijangka akan meringankan beban lebih 39,100 KIR yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

“Mesyuarat JPBP yang dipengerusikan saya pada 13 September lalu, bersetuju menaikkan kadar BWI daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau yang terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh JPBP.

“Keputusan menaikkan kadar bantuan ini, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana ditambah pula dengan impak ekonomi rakyat akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pemberian bantuan itu bukan satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa, tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung.

Katanya, ia antara pendekatan baharu yang diambil kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada awal November ini hingga penghujung Mac tahun depan, membabitkan negeri Pantai Timur, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Atas dasar prihatin dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri yang menghadapi kesukaran menguruskan bencana Monsun Timur Laut sepanjang tahun, peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam MTL 2021/2022 juga akan disalur.

“Peruntukan itu menggunakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara berjumlah RM9.5 juta bagi membantu kelancaran proses dan memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pendekatan baharu lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat berkenaan adalah pembangunan Sistem eSumbangan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana.

Katanya, bantuan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana pusat, negeri atau daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan sistematik.

“Badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan, perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana pusat, negeri serta daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas,” katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya semua pihak yang terbabit konsisten dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan pengurusan bencana melalui program dan projek yang bermanfaat di negeri masing-masing.

“Semua agensi terbabit juga perlu menggunakan dan berkongsi segala aset yang sedia ada di negeri masing-masing dengan membabitkan badan korporat, NGO serta individu di peringkat tempatan, agar sama-sama dapat menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia juga, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dan prihatin dengan persekitaran termasuk ke atas jiran serta rakan selain ahli keluarga sendiri ketika musim tengkujuh nanti, untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya