Penduduk Di Kawasan Cerun Perlu Sentiasa Berhati-Hati Ketika Fasa Peralihan Monsun

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

PENAMPANG : Penduduk di negeri ini terutama yang tinggal berhampiran kawasan cerun yang berisiko tinggi menyebabkan tanah runtuh supaya lebih berhati-hati ketika fasa peralihan monsun bermula bulan ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya turut meminta Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini untuk sentiasa melaksanakan pemantauan di kawasan berisiko.

“Kejadian hujan lebat yang berlaku sejak tengah hari semalam telah berlanjutan sehingga lewat petang mengakibatkan berlaku kejadian banjir yang agak buruk dibeberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan selain turut berlaku kejadian tanah runtuh yang teruk.

“Berdasarkan kejadian tanah runtuh yang berlaku dalam tempoh 10 hari terakhir sebelum ini, saya menasihatkan agar mereka yang tinggal berdekatan kawasan cerun yang menunjukkan ada risiko untuk lebih berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir dan kejadian tanah runtuh di Kampung Madsiang yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor disini pagi tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan kepada mangsa terlibat di Kampung Madsiang ketika mengadakan lawatan melihat kawasan kejadian tanah runtuh – FOTO : MAHA

Shahelmey berkata, penduduk juga sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya dan agensi terlibat kini dalam proses mendapatkan laporan dan data terperinci mangsa terlibat banjir dan tanah runtuh dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah-daerah terlibat.

“Sudah pasti kita akan gerakkan jentera kita dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa terlibat termasuk mangsa kejadian tanah runtuh di Forest Hill Penampang.

“Saya berharap agar semua mangsa terlibat bersabar, reda dengan ujian yang melanda.  Kejadian yang berlaku semalam adalah luar biasa,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *