Sabah Sepakat Letakkan Kepentingan Rakyat dan Negeri Sebagai Keutamaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersepakat untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negeri sebagai keutamaan selain menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan 29 Mac lalu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mandat rakyat perlu ditunaikan sehabis baik khususnya di kala menghadapi kemelut kesihatan awam luar biasa yang memberi kesan kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan pimpinan GRS juga amat menghargai komitmen meletakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai antara teras utama dalam kerjasama dwi-partisan melalui memorandum persefahaman di peringkat persekutuan.

“Atas semangat yang sama, Sabah berharap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat meneruskan dan menyambung semula pada kadar segera siri rundingan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Sarawak melalui platform Majlis Khas MA63 yang telah dirintis di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) disini malam ini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Turut hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Hasan.

Hajiji berkata, kebijaksanaan Perdana Menteri dalam mentadbir negara diyakini akan dapat membawa nilai dan makna yang lebih besar kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.

Katanya, berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia’ merentasi wilayah, kerajaan Sabah akan berusaha memenuhi kontrak sosial antara wilayah yang telah disepakati para pelopor awal tanah air di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

“Suka saya mengulangi komitmen bahawa selaku Ketua Kerajaan kepada rakyat dan negeri Sabah, saya ingin mengemukakan jaminan bahawa, yakin dan percayalah, suara rakyat Sabah yang mengutarakan hak-hak negeri, sebenarnya bukan hanya berkisar tentang kepentingan negeri semata-mata.

“Keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan kami kepada Persekutuan Malaysia, negara yang telah kita bentuk bersama-sama. Dan setelah 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan negeri Sabah diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan, membina negara yang jauh lebih makmur, aman, maju dan sentosa,” katanya.

Justeru Hajiji turut mengajak seluruh rakyat di Sabah untuk terus bersatu atas semangat ‘Keluarga Malaysia’.

“Saya penuh yakin bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Sabah akan menikmati lebih banyak pembangunan untuk rakyat di semua peringkat,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *