HomeSukanSabah FC Berpuas Hati Kutip Satu Mata

Sabah FC Berpuas Hati Kutip Satu Mata

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA BHARU: Sabah FC berpuas hati mengutip satu mata apabila sekadar seri 2-2 menentang Kelantan FC pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV disini petang tadi.

Penolong Jurulatihnya Burhan Ajui berkata, meskipun mensasarkan untuk mencatat kemenangan namun para pemain tetap bersemangat untuk mempamerkan aksi pada perlawanan itu.

“Sememangnya apabila kita bertandang ke Kelantan ini, sasaran kita adalah untuk menang.  Walaubagaimanapun kita berpuas hati kerana pemain telah memberikan lebih 100 peratus untuk mencari mata di Kelantan.

“Sememangnya kita berpuas hati dengan satu mata ditempat lawan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu petang tadi.

Terdahulu, gol pertama perlawanan dicipta menerusi sepakan penalti oleh kapten Sabah FC, Risto Mitrevski pada minit ke-31 selepas bola terkena tangan pemain Kelantan FC, Muhammad Zubir Mohd Azmi.

Percubaan pelawat menambahkan gol menerusi sepakan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-36 bagaimanapun hampa apabila penjaga gol Skuad The Red Warrior, Mohamad Faridzuean Kamaruddin berjaya menangkap kemas bola.

Pasukan tuan rumah kemudian bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-38 hasil sepakan Natanael Siringo Ringo yang pantas merampas bola yang terlucut daripada kawalan penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining.

Pasukan Sabah terus mengasak gawang skuad Kijang menerusi beberapa percubaan yang dilakukan pemain pertahanan import Sabah, Park Tae Su dan sepakan percuma Nazirul Naim Che Hashim namun kedua-duanya gagal menggegar gawang tuan rumah.

Kelantan bagaimanapun berjaya mendahului pelawat apabila Muhammad Haziq Mohd Subri menyambar bola yang terkena tiang hasil sepakan hantaran Ringo pada minit ke-69.

Kegembiraan anak buah Rezal Zambery Yahya bagaimanapun tidak bertahan lama apabila tindakan pertahanan yang menjatuhkan pemain tengah Sabah, Levy Clement Madinda membolehkan pasukan pelawat dianugerahkan sepakan penalti.

Mitrevski yang mengambil sepakan penalti sekali lagi tidak mensia-siakannya untuk membolehkan Sabah menyamakan kedudukan pada minit ke-79.

RELATED ARTICLES
Sukan

Pasukan futsal lelaki Sabah sasar juara pada Sukan MAKSAK 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya