Azhar Nafi 15 Adun Warisan Keluar Parti

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Darau, Azhar Matussin menafikan laporan sebuah portal online kononnya 15 Adun keluar daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN), menjadi Adun bebas mesra kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sambil menyifatkan tindakan portal tersebut tidak berasaskan sekali gus hanya bersifat memburukkan Adun Warisan yang tetap kekal setia bersama-sama Warisan.

“15 Adun Warisan Sabah yang dilaporkan itu tetap dengan pendirian mereka membantu rakyat dengan mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke -16 baru-baru ini.

“Saya bersama-sama dengan rakan-rakan lain akan berpengang kepada prinsip yang dilafazkan untuk terus kekal sekali gus setia kepada kepimpinan Presiden Parti Datuk Seri Mohd Shafie Afdal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kota Kinabalu hari ini.

Azhar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan Sabah berkata, setakat ini beliau yakin rakan-rakan Adun lain tetap fokus membantu rakyat yang terkesan dengan penularan COVID-19 sekali gus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang diwakili.

“Kita tetap fokus membantu rakyat yang sangat memerlukan perkhidmatan wakil rakyat di kawasan mereka. Kita tidak lari dengan pendirian asal selepas dilantik menjadi Adun untuk tetap dengan pendirian kekal bersama Warisan,” katanya.

Ketika mengulas mengenai dakwaan Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dilaporkan media keluar daripada Warisan menjadi Wakil Rakyat Bebas menyokong GRS, Azhar berkata, baru beberapa hari lalu beliau bersama beberapa rakan lain duduk serta berbincang dengan Dr Yusof berkaitan hala tuju Parti Warisan Sabah pada masa depan.

“Dalam pertemuan ini tidak timbul soal beliau (Dr Yusof) akan keluar meninggalkan parti seperti mana yang ditimbulkan oleh sebuah portal online malam tadi,” katanya.

Azhar yakin, Adun Sindumin merupakan seorang rakan Ahli Politik yang matang disamping turut memberi nasihat serta berkongsi berpengalamannya sepanjang kariernya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *