Kim Swee Mampu Perbaiki Prestasi Sabah FC – Jelani

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan menaruh harapan pasukan itu akan menjadi lebih baik di bawah kendalian ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee dalam menghadapi perlawanan dalam saingan Piala Malaysia.

Katanya, walaupun sasaran sebenar untuk memperbaiki prestasi pasukan dalam Liga Super musim depan namun tumpuan sekarang ialah untuk mengharungi baki empat perlawanan Piala Malaysia.

“Pencapaian kita menerusi dua perlawanan di luar sebelum ini boleh dikatakan baik, seri 1-1 dengan PJ City FC dan seri 2-2 dengan Kelantan FC dan kita berharap Sabah FC akan terus dapat memperbaiki prestasi,” katanya ketika menemui pemain-pemain dan staf kejurulatihan kelab itu di Stadium Likas, semalam (Rabu).

Kehadiran Jelani itu juga atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung SAFA yang baharu berikutan pelantikan beliau ke jawatan itu minggu lepas.

Beliau memberitahu, sungguhpun baru lebih kurang seminggu bersama pasukan sebelum menghadapi dua perlawanan Piala Malaysia di luar, sudah ada petanda pasukan memperlihatkan perubahan.

“Kita mahu melihat pasukan ini akan terus memberi cabaran khususnya dalam perlawanan menentang pasukan JDT di halaman sendiri (Stadium LIkas) pada 29 Oktober ini”, ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya akan memastikan SAFA dan Sabah FC mempunyai hubungan yang harmoni dan pada masa yang sama, kelab profesional itu dapat meningkatkan lagi pengurusan terutama dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

“Soal perancangan dan pembaikan prestasi dan teknikal dalam pasukan Sabah FC, kita serahkan kepada Kim Swee sebagai seorang jurulatih yang sangat berpengalaman,” katanya.

Jelani yakin ketua jurulatih itu mampu memperbaiki pasukan dan berharap beliau akan dapat melakukannya untuk musim depan.

Katanya, selaku setiausaha agung SAFA dan sekali gus sebagai Pengarah Sabah FC akan memudahkannya mengendalikan pengurusan pasukan tersebut agar menjadi lebih baik.

“SAFA sebagai badan induk bolasepak dan pemilik sepenuhnya Sabah FC sudah tentu kelab itu dapat dipantau dan menjadikan SAFA sebagai badan rujukan untuk menggerakkan lagi pasukan,” tegas Jelani.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat, bekas pemain skuad olimpik negara, Datuk James Wong dan para pegawai SAFA.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *