HomeUtamaMaximus Berani Bersuara Demi Pembangunan Sabah & Sarawak - Joniston

Maximus Berani Bersuara Demi Pembangunan Sabah & Sarawak – Joniston

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Keberanian Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bersuara menggesa Kerajaan Persekutuan memberi perhatian khusus terhadap keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak menunjukkan sifat kepimpinan beliau yang sebenar.

Setiausaha Agung PBS Datuk Joniston Bangkuai turut menyatakan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak, Maximus dalam ucapan penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 di Parlimen pada hari Khamis lalu menegaskan beliau tidak segan untuk berkongsi masalah dan menekankan pelbagai inisiatif di peringkat nasional perlu diambil demi kebaikan Sabah dan Sarawak.

Dalam mengucapkan penghargaan atas usaha yang telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan Sabah dan Sarawak, Maximus turut mengatakan bahawa kerajaan pusat terkadang segan untuk mengakui bahawa walaupun kedua-dua negeri itu kaya dengan sumber semula jadi, namun agensi perancang dan perbelanjaan kedua-dua negeri memerlukan perhatian khusus untuk merealisasikan matlamat pembangunannya.

Joniston mengatakan reaksi presiden parti yang memberi peringatan terhadap sikap sambil lewa, perancangan kurang cekap dan ketiadaan penetapan matlamat dalam perancangan pembangunan kini perlu berakhir, adalah tepat.

Tambah Joniston, beliau gembira melihat penyelesaian masalah yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia (MA63) telah disenaraikan sebagai antara keutamaan di bawah RMK12.

“Yang penting kini ialah melihat Sabah dan Sarawak benar-benar mendapat manfaat dan menerima apa yang layak diterima oleh kedua-dua negeri,” kata Joniston, yang juga Adun Kiulu dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Beliau percaya rakyat Sabah dan Sarawak akan turut sependapat dengan Maximus iaitu setelah 58 tahun sebagai persekutuan, usaha merangkumi rancangan pembangunan masih banyak belum dicapai terutama dalam bidang pendidikan, kesihatan, kemiskinan, pengagihan pendapatan, serta tenaga kerja di sektor profesional dan keselamatan.

Sejak penubuhan PBS 36 tahun lalu, parti sentiasa konsisten memperjuangkan hak-hak Sabah, dan MA63 adalah perjuangan teras parti.

“Kami bangga, dan pada masa yang sama bersyukur mempunyai pemimpin yang berani menyatakan buah fikirannya.

“Dan kami juga berharap agar Kerajaan Persekutuan mengambil perhatian dan memastikan Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan dari segi pembangunan. Mengambil kata-kata Presiden PBS, sudah tiba masanya untuk merapatkan jurang, atau sebolehnya setara dengan negeri-negeri maju di Malaysia,” kata Joniston.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Kerajaan tidak benarkan pembinaan Rumah SMJ dibina di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya