5,268 Pelajar UMS Kembali Ke Kampus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU : Seramai 5,268 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) membabitkan tiga kampus utamanya iaitu di Kota Kinabalu; Sandakan dan Labuan akan masuk semula ke kampus secara fizikal bagi sesi 2021/2022.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk ChM.Ts.Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, dari jumlah itu seramai 4,847 pelajar di Kampus Induk Kota Kinabalu; 219 Pelajar Kampus Antarabangsa Labuan dan selebihnya seramai 202 orang di Kampus Sandakan.

“Namun dalam tempoh fasa pertama ini iaitu bermula hari ini sehingga 31 Oktober nanti, seramai 3,582 orang pelajar akan balik semula ke dalam kampus secara berperingkat di tiga buah kampus ini.

“Dari jumlah itu, seramai 3,419 orang pelajar di Kampus Kota Kinabalu; 150 pelajar di Kampus Antarabangsa Labuan dan 105 orang lagi di Kampus Sandakan,” katanya ketika hadir pada Program Kemasukan Pelajar Berkeperluan ke Kampus Semester 1 Sesi 2021/2022 di Pusat Sukan UMS disini pagi tadi.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Madya Dr Raman Noordin.

Dr Taufiq berkata, kemasukkan semula ke kampus ini melibatkan enam kategori pelajar berkeperluan bagi membolehkan mereka memngikuti pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara fizikal dan dalam talian.

“Kemasukan pelajar ini melibatkan enam kategori seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini dan yang paling utama bagi pelajar-pelajar yang melibatkan aktiviti makmal dan yang memerlukan kemudahan dalam kampus seperti WiFi dan lain-lain.

“Pendaftaran kemasukan hari ini semua  berjalan lancar dan prosedur kemasukkan juga perlu diikuti termasuk pelajar perlu membuat ujian calitan COVID-19 dan akan diasingkan sekiranya mempunyai gejala bagi  mengelak penularan jangkitan berlaku,” katanya.

Terdahulu, sebelum ini Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kemasukan semula pelajar secara fizikal ke kampus bagi sesi 2021/2022, akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan mereka yang sudah lengkap vaksinasi, bermula hari ini mengikut kalendar akademik institusi masing-masing.

Katanya, ia dilaksanakan mengikut kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dalam usaha memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi negara, di samping meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan.

“Kemasukan semula penuntut yang telah lengkap divaksin ke IPT ini membabitkan semua kategori pelajar dan semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira input sesi libat urus bersama MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM), pengurusan IPT meliputi Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan wakil persatuan IPT swasta (IPTS), serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan wakil kesatuan/persatuan pelajar,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *