HomeUtamaCOVID-19 : Dua Kluster Baharu Direkodkan Di Sabah

COVID-19 : Dua Kluster Baharu Direkodkan Di Sabah

Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU : Sabah kembali merekodkan kluster baharu hari ini selepas hampir beberapa minggu tiada kluster direkodkan di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia membabitkan dua kluster yang berpunca dari tempat kerja dan komuniti di daerah Beaufort.

“Kluster Kampung Bawan adalah kluster yang berpunca dari tempat kerja dan setakat ini telah menjangkiti 34 orang, manakala Kluster Kampung Batu 66 yang merupakan kluster komuniti setakat ini telah menjangkiti 29 orang.

“Walau bagaimanapun, kluster-kluster ini tidak mempengaruhi peningkatan kes yang direkodkan hari ini,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, hari ini juga Sabah mencatatkan peningkatan jumlah jangkitan tinggi sebanyak 225 kes dengan catatan kumulatif harian berjumlah 651 kes setelah jatuh kepada 426 kes semalam.

Katanya, hari ini juga menyaksikan sejumlah 22 daerah di Sabah mengalami peningkatan, lima daerah lagi mengalami penurunan dan hanya satu daerah iaitu Pitas merekodkan penurunan ketara (-15) kes.

“Seluruh kawasan bandar utama juga merekodkan peningkatan kes kecuali Penampang.

“Walau bagaimanapun, tidak ada daerah yang mencatatkan kes pada paras tiga angka dan hanya dua daerah yang mencatatkan kes harian melebihi paras 50 kes,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, faktor yang mempengaruhi peningkatan kes pada hari ini adalah disebabkan terdapat banyaknya daerah yang mencatatkan peningkatan ketara.

Katanya, antaranya seperti Beaufort +38 kes, Kudat +35 kes, Lahad Datu +22 kes, Tawau +20 kes, Papar +16 kes, Kota Belud +15 kes, Keningau +13 kes, Beluran +13 kes dan Sipitang +10 kes.

“Sejumlah 228 kes atau 35.02 peratus adalah merupakan kes daripada Saringan Bergejala yang sinonim kepada kes-kes sporadik.

“Sungguhpun kes yang dilaporkan pada hari ini adalah tinggi berbanding semalam, hanya 400 kes atau 61.44 peratusadalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Kes-kes yang selebihnya adalah kes-kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih lama setelah keputusan saringan diketahui,” katanya.

Katanya, sebanyak 94.93 peratus daripada kes yang direkodkan hari ini hanya dalam Kategori 1 dan 2 yang lazimnya hanya memerlukan rawatan dan penilaian di rumah atau PKRC.

Tambahnya, terdapat empat kes dalam Kategori 3, lapan kes dalam Kategori 4 dan tiga kes dalam Kategori 5 manakala sejumlah 18 kes lagi masih dalam penilaian JKNS.

“Masyarakat digesa agar terus mematuhi SOP yang telah digariskan bagi membendung penularan virus COVID-19,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya