HomeUtamaPerkongsian Pintar Mampu Selesaikan Masalah Bekalan Air Luar Bandar

Perkongsian Pintar Mampu Selesaikan Masalah Bekalan Air Luar Bandar

Read Time:1 Minute, 55 Second

KIULU: Perkongsian pintar pelbagai pihak mampu menyelesaikan masalah bekalan air bersih di kawasan luar bandar di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, kolaborasi pintar pelbagai pihak dalam memaksimakan penggunaan teknologi mampu menjayakan projek bekalan air bersih khususnya di luar bandar.

“Ini hanya akan berlaku dengan adanya kolaborasi institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang telah memikirkan teknologi sesuai untuk kawasan-kawasan mengikut topografi dan bentuk muka buminya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemindahan Ilmu Projek Bekalan Air Graviti Bersih, di Kampung Rungus Nahaba, Kiulu disini hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, Ketua Projek, Dr Gaim James Lunkapis, Kolaborator Pembinaan Kiawayan Sdn Bhd, Ir Joe Primus Kayau, dan Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi Dan Pengkomersilan UMS, Profesor Madya Dr Jidon Janaun.

Jahid berkata, inovasi yang dihasilkan UMS dengan kolaborasi bersama syarikat swasta amat dihargai kerajaan negeri Sabah.

Katanya, secara konvensionalnya, kerajaan akan menyediakan bekalan air daripada loji dan disalurkan ke kawasan perkampungan namun lokasi yang jauh maka ianya akan menghadapi kekangan peruntukan dana.

“Tahniah kepada pihak UMS kerana berjaya menghasilkan inovasi bekalan air dengan menggunakan teknologi hijau, dan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) kerana menitik beratkan keperluan air bersih di kawasan luar bandar Sabah.

“Jadi apa yang terjadi hari ini di Kampung Rungus Nahaba ialah gabungan daripada semua komponen iaitu dari pihak UMS, Kerajaan Persekutuan, penglibatan komuniti kampung dan kerajaan negeri melalui perwakilan daripada Pejabat Daerah untuk mempermudahkan pelaksanaan ini.

“Hari ini memperlihatkan satu kejayaan yang boleh dibanggakan kerana Kampung Rungus Nahaba kini menikmati bekalan air bersih dengan peruntukan minima daripada gabungan teknologi, penglibatan masyarakat kampung dan syarikat yang mengadakan CSR,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya perkongsian pintar tersebut, maka masalah bekalan air bersih termasuklah di kawasan luar bandar akan dapat diatasi.

Terdahulu, Joniston menasihati masyarakat kampung untuk terus memelihara sumber air graviti tersebut dan sentiasa menjaga tadahan air supaya tidak dicemari.

Untuk rekod, projek tersebut disiapkan hasil gabungan tenaga kerja MOSTI melalui MySI-Malaysian Social Innovation) UMS, komuniti Kampung Rungus Nahaba sendiri, dan Syarikat Pembinaan Kiawayan Sdn Bhd, yang merupakan rakan kolaborasi UMS.

Projek Bekalan Air Bersih tersebut dimulakan pada Oktober 2020 dan beroperasi sepenuhnya sejak Julai 2021 lalu.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : KEPKAS, syarikat penerbangan bincang agar dapat tetapkan harga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya