‘CaShoots Nugget’ Rangkul Anugerah Berganda Karnival Inovasi PKPP UMS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Produk inovasi makanan sihat ‘CaShoots Nugget’ merangkul Anugerah Khas Pengarah PKPP dan Anugerah Emas pada Karnival Inovasi Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.

Inovasi yang dihasilkan mahasiswa kursus kokurikulum berkredit Interaksi Institusi dan Masyarakat (INTERIM) Seksyen 7 diiktiraf para juri kerana menepati ciri ‘inovasi mudah dan realistik’.

Produk yang turut dikenali ‘Cassava Plant Nugget’ menggunakan pucuk ubi, tepung kanji, tepung gandum, minyak masak dan telur ayam sebagai resipi utama.

Mereka turut muncul sebagai pemenang Anugerah Pembentangan Terbaik kategori ‘secara langsung’ melalui pembentangnya, Alec Sean Tiannok Sunga.

Bagi Anugerah Pembentangan Terbaik kategori Video, pemenangnya pula disandang  mahasiswa Pengurusan Organisasi Pelajar Seksyen 102.

Dalam pada itu, Pengarah PKPP UMS, Dr. Jurry Foo memaklumkan karnival inovasi yang diadakan buat julung kalinya bermula sesi 2021/2022 adalah sebuah usaha memupuk budaya rekacipta dalam kalangan mahasiswa.

Katanya, ia merupakan komponen baharu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) tambahan kursus kokurikulum berkredit.

“Pada semester ini, kita telah menerima penyertaan 61 inovasi daripada semua kursus yang ditawarkan di PKPP termasuk peserta mahasiswa dari UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) dan Fakulti Pertanian Lestari Sandakan.

“Karnival ini menyaksikan 13 inovasi dianugerahkan sijil emas, 31 perak dan 17 gangsa.

“Secara keseluruhannya, saya amat berbangga dengan kesungguhan serta komitmen jurulatih dan mahasiswa dalam menghasilkan idea mereka.

“Oleh itu, saya juga berbesar hati menaja pemenang khas Anugerah Pengarah PKPP semester ini mewakili UMS dalam sebuah pertandingan inovasi atas talian di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut Jurry, tiga lagi kumpulan perserta lain yang menunjukkan pencapaian yang baik ditaja oleh dua Timbalan Pengarah PKPP,  Dr. Colonius Atang dan Profesor Madya Dr. Pathmanathan K. Suppiah; dan Ketua Penyelaras Karnival Inovasi PKPP, Dr. Sharifah Rahama Amirul.

“Bagi pihak PKPP, kita juga akan terus berusaha menawarkan perkhidmatan pendidikan yang cemerlang, khususnya bagi kursus kokurikulum berkredit agar dapat memainkan fungsi yang efektif menyokong ekosistem pendidikan universiti,” tambah Jurry.

Majlis perasmian penutupan karnival selama dua hari itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

Dalam teks ucapannya, Taufiq berkata UMS menyokong penuh usaha PKPP membentuk pelajar yang holistik melalui inovasi, sejajar dengan visi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia iaitu Pendidikan Tinggi Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

“Ini juga amatlah bertepatan dengan hasrat negara ke arah melahirkan modal insan berkualiti dan terdidik bukan hanya dalam bidang akademik malahan dalam kemampuan untuk menguasai kemahiran insaniah.

“Sesungguhnya, generasi yang seimbang dalam pelbagai aspek merupakan aset permata negara  untuk memacu pembangunan sekali gus meningkatkan keupayaan Malaysia bersaing hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Jurulatih Terbaik, Sakinah Ithnin ketika ditemui memberitahu Karnival Inovasi PKPP telah mewujudkan semangat berdaya saing dalam kalangan mahasiswa yang berada dibawah bimbingannya.

“Menerusi program ini kerjasama antara mahasiswa lebih mudah dibentuk. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak pengurusan PKPP atas inisiatif penganjuran karnival yang sungguh memberi manfaat.

“Semoga program seumpama ini akan dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *