HomeUtamaLAPORAN KHAS - Semangat Keluarga Malaysia Menentang COVID-19 (Siri 2)

LAPORAN KHAS – Semangat Keluarga Malaysia Menentang COVID-19 (Siri 2)

Read Time:6 Minute, 17 Second

Revolusi Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) Sabah bermula sebagai Pejabat Perhubungan Raya oleh Kerajaan British pada April 1946, selepas penubuhan Jabatan Publisiti dan Percetakan di Kuala Lumpur (24 September 1945) dan pentadbirannya diketuai Pengarah Penerangan dan Penyiaran Sabah yang pertama iaitu R.J Brooke (1952 hingga 1964).

Selepas dipisahkan dari urusetia British Borneo Utara pada tahun 1950, ia mula dikenali sebagai Pejabat Perkhidmatan Penerangan (Information Service) yang berfungsi menyiarkan News Summary dari Central of Information, London dan berita tempatan. 

Tiada hari tanpa IOW, kata Nadzerah.

Setelah berjaya memulakan siaran radio di Sabah pada tahun 1951, pejabat itu kemudiannya  dinaik taraf menjadi Pejabat Perkhidmatan Penerangan pada tahun 1954, sebelum dipisahkan kepada dua organisasi yang berbeza iaitu Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran mulai 1 Oktober 1964. 

Pada hari ini, JAPEN Sabah yang berusia 75 tahun diterajui Pengarah Penerangan Sabah yang ke-15, Nadzerah Abdullah bersama Timbalannya, Harun Maddasa.

TIADA HARI TANPA IOW 

Menurut Nadzerah, JAPEN Sabah mengatur gerak jentera serta kemampuannya ke tahap yang optimum sama ada secara komunikasi bersemuka mahupun melalui platform media sosial sejak tahun lepas.

“Tiada hari tanpa Info On Wheels (IOW), itulah motto kita dalam mendepani pandemik Covid-19 dan untuk itu seramai 120 orang digerakkan terdiri daripada Pegawai-pegawai Penerangan Daerah bersama team masing-masing termasuk Pembantu Penerangan dan Juruaudio Visual (JAV).

“Sejak Januari lalu, kita telah membuat 18,920 kali hebahan dengan 30 kenderaan menerusiProgram IOW setiap hari berkaitan pematuhan SOP, amalan 2W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu dalam pelbagai bahasa tempatan, Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris.

“Menerusi media sosial pula, setakat Oktober, kita telah membuat 5,232 hantaran di Facebook(2,159), Instagram (873), Twitter (2,219), Youtube (20) dan terkini TikTok (21) berkaitan maklumat jumlah kes harian, prosedur operasi standard (SOP) terkini, kempen pematuhan SOP dan sebagainya dalam bentuk infografik,” dedah beliau.

CABARAN ANTIVAKSIN

Sebagai ketua yang selalu berada di lapangan bersama anak-anak buahnya, Harun tidak menafikan JAPEN Sabah berdepan dengan pelbagai cabaran. Antaranya ialah persepsi masyarakat yang dikhuatiri mempunyai kaitan dengan kegiatan golongan antivaksin yang kini aktif membuat hantaran di media sosial.

“Halangan utama adalah persepsi masyarakat yang masih tidak yakin dengan keberkesanan vaksin Covid-19 dan kita risau jika ia mempunyai kaitan dengan kegiatan antivaksin yang aktif berkempen untuk menghalang masyarakat mengambil vaksin terutama di pedalaman, pulau dan kawasan terpencil,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah ketika dihubungi memaklumkan, kelompok anti vaksin di negeri ini agak kecil dan lebih kepada individu yang menolak untuk divaksinasi atas pelbagai alasan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Beliau mendedahkan, segelintir daripada mereka merupakan golongan pendidik yang terpengaruh dengan maklumat tidak tepat atau belum disahkan sumbernya. Oleh itu, Idris menasihatkan  golongan tersebut agar segera mendapatkan vaksinasi bagi mengelakkan sebarang masalah atau isu berbangkit berkaitan profesion masing-masing.

Mengulas lanjut isu terbabit, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menasihatkan golongan berkenaan supaya berfikiran rasional kerana kajian mendapati 99 peratus pesakit Covid-19 yang meninggal dunia adalah golongan yang tiada vaksin.

Hajiji (kanan) ketika ditemubual Harun.

“Untuk golongan antivaksin dan mereka yang belum menerima vaksin, kita nasihatkan supaya segera mendapatkan vaksin sebelum mereka sendiri rugi kerana  SOP menetapkan hanya individu dengan dos lengkap dibenarkan masuk ke premis seperti masjid, pusat beli belah, menunaikan umrah dan sebagainya.

“Kita pun kurang pasti kenapa golongan ini belum mahu menerima vaksin, mungkin kerana kepercayaan atau merasa diri mereka kebal daripada penyakit Covid-19 ataupun mungkin mereka takut melihat jarum suntikan yang panjang dan dipapar di kaca televisyen setiap hari,” katanya sambil berseloroh.

KOLABORASI JABATAN KERAJAAN PERSEKUTUAN, KERAJAAN NEGERI

“Saya perhatikan kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan di Sabah dalam mendepani darurat kesihatan ini cukup baik. Inilah pertama kali saya melihat kerjasama yang padu daripada peringkat atasan sampai ke bawah.

“Di peringkat negeri, kita menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 (COVID-19) Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Timbalannya ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Safar ketika menerima dos penggalak.

“Di peringkat daerah pula, pegawai-pegawai jabatan negeri dan persekutuan daripada pegawai daerah sampailah kepada pegawai kesihatan, keselamatan dan sebagainya,” jelas beliau.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada JAPEN Sabah. Di kawasan saya, saya sendiri menyaksikan kenderaan mereka masuk keluar kampung membuat pengumuman menggunakan bahasa Bajau apabila masuk kampung Bajau dan apabila masuk kampung Dusun, mereka bercakap dalam bahasa Dusun dan ini sebenarnya sangat berkesan,” kata Hajiji.

PERSEDIAAN SABAH KE ERA ENDEMIK

Hajiji memberitahu kerajaan mula memberi tumpuan kepada membangunkan semula aktiviti-aktiviti ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu. Oleh itu, beliau menyeru rakyat Sabah agar kekal dengan disiplin diri dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan ketika keluar rumah atau menjalankan aktiviti masing-masing.

“Pada hari ini, sebahagian besar daripada negeri-negeri di Malaysia beralih ke Fasa 4. Ini bermakna, aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial yang lain sudah dibenarkan dan tidak berapa lama lagi kita akan memasuki fasa endemik di mana kita akan hidup bersama Covid-19.

“Tambahan pula, kita sudah terlalu lama dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi kerajaan memikirkan aktiviti-aktiviti ekonomi perlu digerakkan untuk manfaat bersama. Kerajaan pun tidak mampu lagi memberi bantuan-bantuan bakul makanan dan sebagainya sepanjang masa kepada rakyat,” kata beliau.

SOP MASUK SABAH MENGIKUT KEADAAN SEMASA

Mengenai SOP kuarantin kendiri masuk ke Sabah yang dilihat seolah-olah mengekang kepesatan sektor pelancongan, Hajiji menjelaskan sekatan seumpama perlu bagi mengelak kemungkinan jangkitan Covid-19 kepada rakyat Sabah.  

Setakat ini, menurut beliau, SOP kebenaran masuk ke Sabah bergantung kepada keadaan semasa dan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pelaksanaan sekatan ini sama dengan negara-negara lain, mereka juga tidak membuka sempadan tanpa langkah berjaga-jaga. Ini semata-mata demi keselamatan kita bersama,” jelasnya.

SABAH MAJU JAYA 

Hala tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada 29 Mac lalu, merupakan pelan pembangunan Negeri Sabah. Dedah Hajiji, SMJ 1.0 akan berlangsung dalam tempoh lima tahun (2021-2025) menerusi sektor-sektor utama.

“SMJ diambil daripada slogan Jata Negeri Sabah yang diperkenal sejak sekian lama dan ditambah nilai kerana dalam fikiran saya, setiap rakyat tanpa mengira suku kaum, keturunan, kepercayaan agama mesti meyumbang kepada pembangunan ini.

“Bagi merealisasikan hala tuju pembangunan SMJ ini, tentu sekali peranan semua jabatan negeri dan persekutuan termasuk JAPEN Sabah amat besar dalam menjayakan SMJ. Inilah cara kita untuk menyumbang kepada negeri dan rakyat Sabah. Jadi, saya mohon JAPEN Sabah agar membantu dalam menyebar luaskan hala tuju SMJ ini kepada setiap rakyat di seluruh pelusuk kampung,” kata Hajiji.

SENTIASA DI BARISAN HADAPAN

Sebagai entiti kerajaan yang menerajui komunikasi bersemuka dan jabatan yang mempunyai akses secara langsung kepada masyarakat hampir seabad lamanya, JAPEN Sabah komited memastikan khidmat baktinya untuk Keluarga Malaysia sentiasa di barisan hadapan seiring dengan Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya.  

LAPORAN BERKAITAN : https://sabahmedia.com/2021/11/10/laporan-khas-semangat-keluarga-malaysia-menentang-covid-19-siri-1/

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

U Mobile lancar kedai pertama di Sabah, perkukuh kehadirannya di Malaysia...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya