COVID-19 : Tiga Daerah Catat Peningkatan Kes Secara Mendadak

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU : Tiga daerah di Sabah mencatat peningkatan kes jangkitan COVID-19 secara mendadak iaitu di Kota Belud, Ranau dan Kinabatangan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daerah Kota Belud turut mencatat jumlah kes yang tertinggi di Sabah hari ini dengan 54 kes diikuti Ranau dengan 51 kes.

Katanya, jumlah kes harian bagi negeri Sabah meneruskan trend penurunan dengan 442 kes hari ini, yakni kurang 55 kes berbanding jumlah semalam.

“Secara keseluruhan terdapat pengurangan kes yang didaftar di banyak daerah kecuali Kota Belud (+31), Ranau ((+21) dan Kinabatangan (+21) yang kembali naik secara mendadak.

“Malah, Kota Belud mencatat jumlah kes yang tertinggi di Sabah hari ini dengan 54 kes, diikuti oleh Ranau dengan 51 kes.

“Kota Kinabalu adalah antara daerah-daerah yang mencatatkan penurunan ketara hari ini dengan 42 kes (-38), Tuaran (-15), Kota Marudu (-15) dan Penampang (-27),”katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, statistik harian banyak dipengaruhi oleh tahap sikap pematuhan rakyat kepada prosedur standard operasi (SOP).

Katanya, ia boleh dilihat daripada peratusan kes-kes sporadik yang turun naik setiap hari.

“Kes-kes sporadik yang juga dikenali sebagai saringan kes-kes bergejala merupakan 33.3 peratus daripada jumlah kes hari ini, satu peratusan yang tinggi walaupun kurang sedikit daripada peratusan semalam sebanyak 36.2 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, tidak semua kes yang dilaporkan setiap hari berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Katanya, jumlah kes yang dilaporkan juga termasuk kes-kes jangkitan yang telah berlaku lebih awal daripada tempoh 24 jam yang lalu tetapi keputusan saringan hanya dilaporkan dan dimasukkan dalam statistik hari ini.

“Ini disebabkan antara lain masalah lojistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan masa yang diperlukan untuk membuat pengesahan (verifikasi) setiap kes, khususnya daripada daerah-daerah yang jauh.

“JKNS mahu pastikan agar kesahihan setiap kes tidak menimbulkan seberang keraguan,” katanya.

Katanya, kesemua kes di Kota Belud (54) yang dilaporkan hari ini berlaku diluar tempoh 24 jam yang lalu, yakni dua hari atau lebih lama.

“Sebanyak 36 daripada 42 kes di Kota Kinabalu juga sedemikian, 14 daripada 26 kes di Tenom, 16 daripada 36 kes di Kinabatangan dan 12 daripada 15 kes di Penampang.

“Mengikut statistik, cuma 232 (52.5 peratus) daripada 442 kes di Sabah hari ini berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *