Klinik Kesihatan Bakal Dibina Di Pulau Mantanani

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA BELUD: Sebuah klinik kesihatan bakal didirikan di Pulau Mantanani bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan kesihatan. 

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah maklum dan meluluskan pembinaan Klinik Kesihatan di pulau tersebut.

“Pulau ini yang didiami 1,024 orang penduduk sememangnya memerlukan sebuah klinik kesihatan bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan kesihatan tanpa perlu lagi ke tanah besar Kota Belud menggunakan bot.

“Dengan adanya klinik kesihatan disini, memudahkan para petugas Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan kelengkapan yang ada tanpa perlu berulang alik dari tanah besar ke Pulau ini,” katanya ketika ditemui media di Klinik Desa Kampung Payas-Payas disini semalam.

Noor Azmi juga sempat meninjau pemberian vaksin kepada penduduk kampung pulau Mantanani menyaksikan seramai 18 orang mendapatkan vaksin yang mana 14 daripadanya adalah dos penggalak.

Di samping itu, beliau berharap agar pembinaan klinik di pulau tersebut dapat dipercepatkan memandangkan projek itu telah tersenarai dalam pembinaan yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, selain bercadang menaik taraf beberapa klinik desa usang yang beliau lawati sekitar daerah Kota Belud.

Turut sama dalam rangka lawatan tersebut Pengarah JKNS, Datuk Dr. Rose Nani Mudin dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Teknikal) Datuk Dr. Hishamshah Mohd Ibrahim./Penerangan-

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *