SESB Peruntuk RM2 Juta Laksana CSR

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 48 Second

RANAU : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) SESB tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, CSR SESB itu meliputi tiga bidang utama iaitu pendidikan, kebajikan dan pemulihan alam sekitar.

“SESB menyalurkan sumbangan sebagai usaha memberikan yang terbaik kepada masyarakat khasnya mereka yang memerlukan untuk meningkatkan pendidikan mereka dengan memberikan bantuan kelengkapan persekolahan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Pada kali ini, seramai 250 orang anak-anak berbilang bangsa dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan yang berusia 7 hingga 12 tahun menerima bantuan persekolahan bagi tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ceria Ke Sekolah SESB Peringkat DUN Karanaan dan Sumbangan Program Sekolah Angkat SESB di Dewan Masyarakat Ranau.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Ir Idris Mohd Noor.

Majlis itu disempurnakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Abdul Nasser berkata, bantuan yang disalurkan itu berupa kasut, stokin sekolah, beg, kamu, alat tulis dan wang saku sejumlah RM50 bagi setiap murid.

Katanya, SESB telah memilih empat kawasan bagi program Ceria Ke Sekolah dan Program Sekolah Angkat SESB yang menggunakan sumbangan dana sepenuhnya oleh SESB dengan peruntukan sebanyak RM140,000 melibatkan 800 penerima.

Antara kawasan terlibat ialah Pensiangan, Ranau, Tambunan dan Keningau.

Dalam pada itu, Abdul Nasser berkata, program sekolah angkat SESB adalah salah satu daripada program CSR SESB yang telah dirancang pada tahun ini.

Katanya, sumbangan secara one off berjumlah RM34 ribu akan diberikan kepada setiap sekolah rendah luar bandar yang daif dan perlu diberikan bantuan serta kemudahan yang setara dengan sekolah di bandar.

“Tujuan bantuan tersebut adalah bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar agar lebih kondusif.

“Bagi tahun ini, SESB telah memilih enam buah sekolah rendah di empat daerah iaitu Ranau, Keningau, Pensiangan dan Tambunan,” katanya.

Katanya, objektif utama program ini adalah untuk memberi sokongan pembelajaran kepada pelajar-pelajar melalui program naik taraf kemudahan di sekolah rendah bagi mencapai generasi yang berpendidikan di luar bandar.

“Bagi daerah Ranau, SESB dengan bantuan Jabatan Pendidikan Daerah Ranau telah memilih Sekolah Kebangsaan Sagiban sebagai Sekolah Angkat SESB dan penerima bantuan pada tahun ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *