Jambatan Sungai Damit Diperingkat Akhir Penyiapan

Read Time:1 Minute, 23 Second

TAMPARULI: Jambatan Sawah – Sungai Damit yang merentasi Sungai Tuaran menghubungkan Pekan Tuaran dengan Sungai Damit disini masih berada di peringkat akhir penyiapan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, jambatan berkenaan  dijangka akan dibuka kepada pengguna apabila semakan akhir selesai dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab.

“Saya telah dimaklumkan oleh jurutera yang terlibat bahawa kerja-keja bagi menyiapkan jambatan ini sudah berada di peringkat akhir.

JAHID Bersama Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Herman Tunggiging, PPM Tamparuli, Madin Anak dan beberapa pemimpin masyarakat lain, meninjau keadaan terkini Jambatan Sungai Damit.

“Selain itu saya juga dimaklumkan, sekiranya tiada halangan cuaca dan selepas dilawati oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), barulah akan diketahui perkembangan selanjutnya nanti, bila jambatan tersebut boleh digunakan oleh orang awam,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan bagi melihat perkembangan terkini di jambatan berkenaan selepas mengadakan tinjauan pertama pada 10 September lalu.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, dan beberapa pemimpin masyarakat lain.

Jahid diberi taklimat ringkas berhubung status semasa jambatan itu oleh Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Jambatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Petrocelli Joseph, dan turut dibantu Jurutera Daerah Tuaran, Farini Awang.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, pihaknya berharap agar jambatan itu dapat digunakan oleh penduduk setempat dengan secepat mungkin.

Jambatan sepanjang 104 meter itu bermula pada April 2019 dengan kos RM18 juta dan sepatutnya siap tahun lalu.

Bagaimanapun, proses penyiapan tergendala disebabkan struktur yang dikesan melentur sedikit di bahagian tengah.

Jambatan tersebut bakal memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk kampung berdekatan seperti Kampung Sawah, Sungai Damit, Bintangor, Pitas, Bantayan, Damat, Bontoi dan Tamparuli.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *