DUN Sabah : SKMM Beri Tumpuan Tambahbaik Infrastuktur Komunikasi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan berkata, penyediaan jalur lebar berkelajuan tinggi itu dengan menggunakan pelbagai teknologi agar rakyat di negeri ini dapat menikmati akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dirangka bertujuan untuk mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara termasuk negeri Sabah.

“Pelaksanaan JENDELA Fasa 1 yang sedang berjalan ketika ini sehingga penghujung tahun 2022 memberi fokus kepada pemantapan infrastruktur digital dengan tumpuan kepada pembinaan tapak-tapak baharu.

“Selain itu, menaiktaraf stesen-stesen pemancar sedia ada kepada teknologi 4G serta menyediakan capaian gentian optik di premis-premis di seluruh negara sebagai persediaan untuk beralih kepada teknologi 5G,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (UMNO- Nabawan) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Yakub berkata, hasil pelaksanaan program JENDELA di Sabah setakat Oktober lalu masih mengikut perancangan yang ditetapkan.

Katanya, daripada 588 lokasi baharu yang dirancang dengan teknologi 4G, sebanyak 79 lokasi telah siap dilaksanakan.

Tambahnya, bagi menaiktaraf lokasi sedia ada pula, sebanyak 2,337 lokasi telah siap dinaik taraf kepada 4G daripada 3,500 lokasi yang telah dirancang.

“Bagi projek menaiktaraf premis kepada capaian gentian optik pula, sebanyak 109,408 premis telah siap dilaksanakan daripada 251,165 premis yang telah dirancang. Pencapaian ini dijangka akan meningkat menjelang penghujung tahun 2021 dan seterusnya pada tahun 2022.

“Perancangan dan pencapaian JENDELA adalah dinamik dan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bergantung kepada faktor peralihan dan permintaan pengguna, pembinaan bandar, kawasan perindustrian dan kawasan perumahan baharu.

“Bagi kawasan-kawasan yang tidak termasuk di bawah inisiatif JENDELA Fasa 1, ianya akan diambil kira di bawah pelan Fasa 2 (2023-2025),” katanya.

Sementara itu, Yakub berkata, sasaran Fasa 1 adalah memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 80.2 peratus kepada 90 peratus di kawasan yang berpenduduk.

Katanya, sehingga 31 Oktober 2021, status pencapaian untuk memperluaskan liputan 4G di seluruh negeri Sabah termasuk kawasan-kawasan pedalaman adalah 83.90 peratus.

Dalam pada itu, Yakub berkata, bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman tidak ketinggalan dalam menerima akses jalur lebar, Kementerian dalam perancangan untuk memasang kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di 300 lokasi pada tahun 2022 di samping 55 lokasi pada tahun ini bagi melengkapkan Program JENDELA.

Katanya, setakat ini, Kementerian telah siap memasang perkhidmatan VSAT di 24 lokasi.

“SKMM memperuntukkan sebanyak 138 lokasi untuk pemasangan VSAT di Sabah. Setakat 1 Disember 2021, sebanyak 36 lokasi dipasang jalur lebar satelit telah beroperasi.

“Inisiatif ini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada awal tahun 2022. Kesemua inisiatif ini memerlukan kerjasama serta tindakan beberapa pihak berkepentingan lain dalam mengenalpasti keperluan dan menyelaraskan inisiatif jalur lebar di negeri Sabah,” katanya.

One thought on “DUN Sabah : SKMM Beri Tumpuan Tambahbaik Infrastuktur Komunikasi

Tinggalkan Balasan kepada RFL Batal balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *