DUN Sabah : JHEAINS Terus Berusaha Tingkat Keberkesanan Perkhidmatan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 5 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) terus berusaha untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan dengan lebih cepat dan mudah kepada masyarakat.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah dengan memantapkan hal ehwal kekeluargaan Islam yang melibatkan pengurusan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ di negeri ini.

“Usaha ini juga selari dengan usaha Pejabat saya untuk meningkatkan intregriti warga kerja melalui pengemasan semula borang-borang perkahwinan, perceraian dan Ruju’.

“Ia bagi memudahkan kebolehkesanan (traceability) pematuhan undang-undang dan Syarak semasa melakukan proses kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Mohd Arifin berkata, susulan dari penambahbaikan dalam pengurusan ini, sijil-sijil perkahwinan, perceraian dan ruju’ yang selama ini berpusat di ibu pejabat JHEAINS akan dikeluarkan di pejabat-pejabat JHEAINS daerah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kajian tentang kepentingan penstrukturan semula perjawatan di JHEAINS juga telah diambil bagi menjaga kepentingan kebajikan kakitangan itu dan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Kajian semula ini meliputi jawatan-jawatan imam Kariah dan imam Masjid Daerah dari vot terbuka S19 ke jawatan yang lebih baik dan terjamin.

“Begitu juga pengwujudan jawatan baru bagi guru-guru agama dan akademik di sekolah-sekolah kelolaan kerajaan negeri yang tidak seimbang dengan pertambahan jumlah murid yang semakin meningkat,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *