HomeUtamaDUN Sabah : KSTI Pastikan Program Kemahiran Dapat Sambutan Pelajar & Belia

DUN Sabah : KSTI Pastikan Program Kemahiran Dapat Sambutan Pelajar & Belia

Read Time:2 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) telah mengenalpasti pelbagai pendekatan dan formula baharu untuk memastikan program kemahiran mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar atau belia dan beliawanis yang masih belajar di negeri ini.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ruddy Awah berkata, ia termasuklah dalam bidang teknologi automatif, digital dan elektronik.

Katanya, antara pendekatan atau formula baharu yang dikenalpasti adalah melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) yang menjalin kerjasama dengan pihak Malaysia Automotive Robotic & IoT Institute (MARii) bagi melaksanakan train and place dalam bidang teknologi automotif.

“Melalui program ini, JPSM akan menghantar belia Sabah mengikuti program dalam bidang automatif dan IOT dan penempatan di kilang-kilang automotif IoT bagi mengatasi isu pengangguran di Sabah bermula tahun 2022.

“JPSM merancang akan memberi peluang kepada belia Sabah yang berpotensi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi berkaitan bidang teknikal khasnya teknologi automotif, digital dan elektronik.

“Jabatan ini juga telah menghantar lima orang pelatih JPSM untuk melanjutkan latihan ke peringkat Diploma iaitu dalam bidang Diploma of Engineering Technology Automotive Maintenance dan Diploma of Engineering Technology in Electric dan Electronics di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada tahun 2020. Program ini akan diteruskan dan dimantapkan di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (UMNO-Nabawan) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Ruddy berkata, Kementerian pada masa ini, sedang merangka pewujudan sebuah Universiti Teknikal bersama MARA bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dan separa mahir di Sabah.

Katanya, dengan inisiatif ini, anak-anak Sabah yang mempunyai sijil kemahiran boleh melanjutkan pelajaran / latihan yang lebih tinggi tanpa perlu ke Semenanjung.

“Kementerian melalui Sabah Skills and Technology Centre (SSTC) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menganjurkan program MyReskills IoT khusus kepada syarikat-syarikat di bawah kategori enterprise kecil dan sederhana di dalam sektor perkilangan, pertanian dan perkhidmatan untuk kekal berdaya saing dalam pengaplikasian IoT dan IR4.0.

“Selain itu, Kementerian melalui Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), giat menjalankan latihan berkemahiran tinggi seperti teknologi dron, IoT, big data dan sebagainya,” katanya.

Katanya, SCENIC telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Aerodyne dan KKIP Aerospace Training Centre bagi meluaskan potensi teknologi dron di Sabah.

“Melalui MOU ini akan dapat membantu industri perhutanan dan pertanian serta secara tidak langsung dapat memperkasa belia melalui latihan teknologi dron.

“Beberapa siri suai kenal dengan jabatan kerajaan dan korporat di Sabah telah diadakan untuk mengenal pasti jenis inisiatif yang boleh dijalankan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Ruddy berkata, dengan inisiatif kerajaan dalam penganjuran program berkaitan digital serta peluang pekerjaan yang ditawarkan, mampu menarik minat belia dan beliawanis ke arah teknologi IR 4.0.

Katanya, Kementerian akan mempergiatkan kerjasama bersama agensi kerajaan negeri dan persekutuan,pihak swasta / industri serta komuniti setempat sebagai satu formula untuk memastikan keperluan semua pemegang taruh di dalam ekosistem dapat dipenuhi.  

RELATED ARTICLES
Utama

Warga emas ditemui lemas semasa memukat di pantai Kuala Putatan 2

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya