DUN Sabah: Projek Empangan Tawau Dijangka Siap 2024

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Bekalan air di Tawau dijangka pulih sepenuhnya apabila projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III yang membabitkan pembinaan sebuah empangan siap pada 2024.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kontrak projek itu disambung setelah Perjanjian Tambahan dimeterai pada 26 Januari 2020.

Bagaimanapun, katanya kemajuan projek setakat 31 Oktober 2021 baru mencapai 6.93 peratus.

“Kelewatan projek ini adalah sebanyak 26.8 iaitu lewat 391 hari berbanding jadual. Ini adalah disebabkan oleh beberapa perkara.

“Pertama, isu pekerja pakar yang tidak dapat memasuki negara dan negeri Sabah disebabkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang sedang berkuatkuasa pada ketika itu.

“Kedua masalah pengambilan balik tanah di kuari di bawah Seksyen 3 Ordinan Pengambilan Tanah yang lewat dan ketiga pewartaan pengambilan balik tanah di spillway,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, hari.

Bung Moktar yang juga Mentegri Kerja Raya negeri berkata demikian ketika menjawab soalan Hamild Awang (UMNO – Balung) mengenai status Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III – reka bentuk dan pembinaan empangan air.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata kapasiti rekabentuk empangan berkenaan mampu menampung sebanyak 30 juta meter padu air.

“Empangan ini juga boleh menampung air mentah untuk disalurkan ke Loji Rawatan Air Cinta Mata sebanyak 90 juta liter sehari (JLS) dan ke Loji Rawatan Air Utara sebanyak 40 JLS serta boleh bertahan lebih kurang empat bulan jika berlaku kemarau.

“Dengan siapnya pembinaan empangan air ini kelak, air mentah yang mencukupi akan dapat disalurkan ke loji rawatan air yang berhampiran untuk dirawat dan dijadikan air bersih sebelum dibekalkan kepada semua pengguna di seluruh daerah Tawau.

“Selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap perkara ini, saya ingin mengajak rakan saya Ahli Yang Berhormat Balung serta seluruh rakyat di Tawau agar dapat sama-sama berdoa dan mengharapkan agar semua pelaksanaan ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Katanya, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan memantau dan memastikan pelaksanaannya sentiasa mengikut jadual seterusnya dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Justin Wong (DAP – Sri Tanjung), Bung Moktar berkata sebuah lagi Loji Rawatan Air (LRA) di Tawau iaitu di Ranggu dijangka siap pada Mac 2022 bagi membantu mengatasi masalah air di daerah itu.

LRA baharu itu, katanya mampu membekalkan 20 JLS, khususnya ke kawasan Apas.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *