COVID-19: Lagi Kluster Baharu Di Sabah Libatkan Institusi Pendidikan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Satu lagi kluster baharu dilaporkan hari ini melibatkan institusi pendidikan selepas semalam di daerah Tuaran dan kini di daerah Ranau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster baharu tersebut yang diberi nama Kluster Debut Timbua di daerah Ranau berpunca daripada seorang guru lelaki yang dikesan positif melalui Saringan Kendiri.

“Siasatan dan saringan lanjut dikalangan kontak rapat mendapati seramai 31 orang lagi telah dijangkiti. Kesemua pesakit telah diasingkan dan dirawat sewajarnya.

“Antara lokaliti yang terlibat dengan kluster ini ialah Asrama SMK Timbua, Kuarters SMK Timbua dan Kuarters SMA Mohd Ali,” kata Masidi dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 329 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 236,375 kes. Selain tiga kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di Kota Kinabalu, Kota Marudu dan Tuaran.

Bagaimanapun, bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 325 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 226,655 orang. Manakala 1,164 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 575 orang di hospital, 579 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, lapan orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dan dua (2) orang di fasiliti swasta.

Daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 73 kes diikuti Tuaran 32 kes, Penampang 31 kes dan Ranau 23 kes.

Secara perbandingan, 15 daerah mencatatkan peningkatan kes harian berbanding kes semalam tetapi dengan dua daerah menunjukkan peningkatan yang agak tinggi iaitu Kota Kinabalu meningkat 20 kes dan Penampang 11 kes manakala 11 daerah mencatatkan penurunan dengan tiga daripadanya penurunan dua angka iaitu Tuaran -23 kes, Beaufort -13 kes dan Ranau -11 kes.

Menurut Masidi lagi, hampir 97% daripada pesakit hari ini berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, seorang pesakit dalam Kategori 3, dua orang pesakit dalam Kategori 4 dan tidak ada pesakit dalam Kategori 5 pada hari ini. Tujuh pesakit lagi masih dalam penilaian lanjut JKNS.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *