DUN Sabah : Hanya 3 Peratus Penjawat Awam Negeri Belum Ambil Vaksin COVID-19

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak tiga peratus atau 687 orang penjawat awam negeri masih belum mengambil vaksin COVID-19 sejak pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, jumlah itu berkemungkinan disebabkan oleh isu kesihatan dan lain-lain perkara.

“Secara ringkasnya, selepas 1 November lalu, semua pegawai Kerajaan Negeri perlu melengkapkan dos imunisasi COVID-19 dengan mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi COVID-19.

“Mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan ini boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan  tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan selaras dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Abidin berkata, pegawai yang tidak layak untuk menerima suntikan imunisasi COVID-19 hendaklah mendapatkan pengesahan daripada pegawai perubatan dan memaklumkan Ketua Jabatan.

Katanya, bagi memastikan pelaksanaan dasar ini, Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan kaedah-kaedah yang bersesuaian untuk mengurus mana-mana pegawai yang tidak mendapat dan melengkapkan imunisasi COVID-19 bukan atas sebab kesihatan.

“Kaedah-kaedah ini termasuk mengarahkan pegawai untuk membuat ujian pengesanan COVID-19 berkala, sesi kaunseling bekerja dari rumah untuk satu tempoh, menggunakan cuti kelayakan yang ada dan kemudian cuti tanpa gaji yang dilayaki dan akhirnya tindakan penamatan perkhidmatan.

“Kerajaan Negeri telah menetapkan agar semua penjawat awam Perkhidmatan Awam Negeri melengkapkan imunisasi COVID-19 untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan memastikan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti Perkhidmatan Awam Negeri berada pada tahap yang optimum,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Pekeliling Perkhidmatan Negeri Sabah Bil. 11 Tahun 2021 bertajuk Dasar Pelaksanaan Imunisasi COVID-19 bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri berkuatkuasa 14 Oktober 2021 telah dikeluarkan.

Dalam pada itu, Abidin berkata, sehingga 23 November lalu, seramai 19,584 daripada 20,271 atau bersamaan dengan 97 peratus penjawat awam negeri telah menerima vaksin, termasuk PBT dan Badan Berkanun Negeri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *