DUN Sabah : Kerajaan Beri RM2 Juta Peruntukan Kepada Setiap Kawasan DUN

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri akan memberikan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada tahun hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan itu merupakan peruntukan tambahan bagi mengurus dan menangani masalah rakyat di kawasan masing-masing.

“Sukacita saya ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini, bahawa pada tahun hadapan, 2022, Kerajaan Negeri akan memberikan peruntukan kepada setiap kawasan DUN sebanyak RM2 juta;

“Dengan harapan semoga dengan peruntukan tambahan ini akan dapat membantu Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam mengurus dan menangani masalah rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan bagi Kementerian Kewangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan mencari mekanisme lain bagi memastikan peruntukan itu turut diterima oleh wakil-wakil rakyat pembangkang.

“Bagi kawasan pembangkang kita akan cari mekanisme macam mana untuk kita bagi Ahli-Ahli DUN pembangkang.

“Kita pun faham juga di kawasan masing-masing juga memang ada keperluan, jadi kita akan cari jalan macam mana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, kutipan hasil daripada Cukai Jualan Negeri amatlah penting dan antara penyumbang utama kepada sumber kewangan Kerajaan Negeri.

“Oleh yang demikian, Kerajaan pada ketika ini tidak bercadang untuk mengurangkan kadar ke atas mana-mana jenis cukai yang sedang dikutip apatah lagi dengan harga seperti Minyak Sawit Mentah (CPO) yang agak tinggi sekarang.

“Walau bagaimana pun, Kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan cadangan yang bermanfaat daripada pihak industri yang boleh memberikan pulangan dan kesan limpahan ekonomi yang tinggi kepada Negeri ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *