Banjir Di Sipitang, 11 Orang Dipindahkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

SIPITANG: Seramai 11 orang termasuk seorang bayi membabitkan satu keluarga dipindahkan ke tempat selamat selepas rumah mereka dinaiki air banjir sedalam lima meter di Kampung Pantai, Jalan Sindumin dekat sini, pada awal pagi Rabu. (29 Dis)

Ketua Balai Bomba Daerah Sipitang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Janil Jaya berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 pagi tadi mengenai satu keluarga yang terperangkap dalam sebuah rumah dinaiki air banjir seterusnya mengerahkan sepasukan anggotanya pergi ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian mendapati air banjir sedalam lima meter hampir mencecah lantai rumah mangsa di Kampung Pantai, Jalan Sindumin.

“Pasukan bomba bertindak memindahkan kesemua mangsa sekeluarga terdiri daripada tiga lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, lima kanak-kanak dan seorang bayi dengan menaiki bot ke tempat yang selamat,” kata Janil ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Menurut Janil, kesemua mangsa telahpun dipindahkan ke tempat yang selamat iaitu rumah saudara mereka.

“Setakat ini keadaan banjir masih terkawal, hujan lebat berterusan sejak semalam sehingga subuh tadi mengakibatkan air banjir di kawasan tersebut,” katanya.

Janil turut menyeru kepada masyarakat khususnya penduduk di kawasan Sipitang agar sentiasa berwaspada dengan keadaan air banjir dengan sentiasa memantau paras air.

“Apabila paras air sudah di paras berjaga-jaga disarankan penduduk yang terlibat untuk segera berpindah ke tempat yang selamat dan memastikan segala dokumen-dokumen penting dibawa bersama atau diletakkan di suatu tempat khas yang apabila berlaku banjir boleh dibawa serta-merta,” ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *