RANAU: Penduduk Kg Nawanon di sini menarik nafas lega kerana hasrat memiliki sebuah Dewan Mini ‘Dewan Komuniti’ yang baharu tercapai dan telah siap dibina sepenuhnya.
Dewan Komuniti yang menelan kos kira-kira RM200 ribu itu, acara perasmiannya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin, baru-baru ini.
Acara perasmian Dewan Komuniti tersebut bertambah meriah diserikan lagi dengan sambutan Hari Krismas peringkat Kg Nawanon dihadiri ratusan penduduk setempat termasuk rombongan dari Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Datuk Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau dalam ucapannya, menyeru penduduk Kg Nawanon supaya memanfaatkan sepenuhnya apa juga sumbangan kemudahan dan bantuan daripada kerajaan.
“Gunakanlah bangunan Dewan Komuniti ini, sepenuhnya untuk mengadakan pelbagai aktiviti atau program yang boleh mendatangkan faedah khususnya ke arah meningkatkan taraf ekonomi penduduk di sini,’ katanya.
Beliau juga menyarankan kepada pemimpin peringkat kampung agar menjalankan tugas dan tanggungjawab serta kerjasama sebaik mungkin dengan penduduk bagi membolehkan kerajaan melaksanakan pembangunan diperingkat kampung.
“Tugas pemimpin di peringkat kampung adalah untuk memastikan masyarakat sentiasa bersatu padu bagi mengekalkan persaudaraan sedia terjalin erat,” tegasnya.
Menyentuh apa juga perayaan yang diraih , Datuk Jonathan juga menyeru rakyat supaya menjadikan perayaan itu sebagai wadah memperkukuhkan persaudaraan dan toleransi tanpa membezakan agama, suku kaum dan ideologi politik.
“Jadikanlah apa juga perayaan di tempat kita sebagai perayaan bersama ke arah menyatupadukan dan mengekalkan keharmonian yang sudah kita pupuk sekian lama,” jelasnya.
Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Nawanon yang juga Pengerusi penganjur, Jemisi Sabal dalam ucapannya mewakili penduduk berterima kasi atas kehadiran Datuk Jonathan dan rombonganya ke majlis yang disifatkannya sebagai ‘Bersejarah’ kerana perasmian bangunan Dewan Komuniti yang sudah sekian lama ditunggu-tunggu.
“Saya mewakili penduduk Kg Nawanon merakam penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Jonathan kerana prihatin membantu penduduk di sini untuk mendapatkan peruntukan kewangan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Malaysia bagi membina sebuah Dewan Komuniti yang kini tersergam indah,”katanya.