Banjir : 2,435 Mangsa Dipindahkan Ke 23 PPS Setakat Pagi Ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU : Jumlah mangsa banjir di Sabah yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus mencatat peningkatan apabila seramai 2,435 orang dipindahkan di 23 PPS setakat jam 8 pagi tadi berbanding 1,826 orang mangsa semalam.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, sehingga jam 8 pagi tadi, jumlah yang dipindahkan itu membabitkan 874 Ketua Isi Rumah (KIR) di enam daeah yang terjejas akibat banjir.

Katanya, Kota Marudu kekal menjadi daerah paling terjejas teruk akibat banjir dengan seramai 1,952 mangsa membabitkan 779 keluarga yang dipindahkan ke 12 PPS yang dibuka sejak semalam.

“Sebuah PPS di Dewan PPR Korongkom Kota Marudu telah dibuka bagi menempatkan 180 mangsa banjir membabitkan 67 KIR menjadikan 12 PPS telah dibuka di daerah ini.

“Sandakan menjadi daerah kedua mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 151 orang membabitkan 35 KIR yang dipindahkan ke PPS Masjid Nur Iman Sungai Memanjang.

“Daerah ini turut membuka sebuah PPS iaitu di Dewan SMK Segalid bagi menempatkan 46 mangsa melibatkan tujuh KIR terlibat,”katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Menurut laporan APM Sabah itu juga menyatakan daerah Paitan merekodkan seramai 97 mangsa membabitkan 23 KIR dipindahkan ke tiga PPS iaitu Dewan SMK Pamol; Dewan Kampung Binsulung dan Dewan Kampung Sungai-Sungai.

Katanya, bagi daerah Beluran, seramai 38 mangsa banjir dipindahkan ke sebuah PPS iaitu di Dewan Kampung Balaban Jaya membabitkan 10 KIR.

“Di Telupid pula seramai 51 mangsa membabitkan lapan KIR dipindahkan di tiga PPS iaitu di Dewan Kampung Bakong-Bakong; Dewan Kampung Rancangan Nangoh dan Dewan Kampung Bauto.

“Bagi daerah Pitas seramai 79 mangsa dipindahkan ke dua PPS iaitu Dewan SK Salimpodon dan Dewan Kampung Kusilad melibatkan 22 KIR terlibat dipindahkan,”katanya.

Laporan APM setakat jam 8 pagi itu menyatakan situasi banjir di Sabah menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa banjir.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *