RM108 Juta Peruntukan Pasca Banjir Untuk Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA MARUDU: Sebanyak lebih RM108 juta peruntukan dianggarkan untuk pasca banjir di negeri ini termasuk pemberian sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan baik pulih infrastuktur terjejas akibat banjir di beberapa daerah di Sabah baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, anggaran yang diberikan kerajaan Sabah itu membabitkan pembaikan infrastuktur awam sebanyak RM90.86 juta.

Katanya, ia berikutan banyak infrastuktur awam mengalami kerosakan akibat banjir seperti jalan raya, jambatan gantung dan pelbagai kemudahan lain.

“Selain itu, peruntukkan baik pulih rumah sebanyak RM7.81 juta dan bantuan barang keperluan asas sebanyak RM3.67 juta turut disalurkan.

“Sebanyak RM1.19 juta diberikan bagi BWI, pembaikan kecil rumah (RM2.74 juta), bina baharu rumah (RM1.17 juta), baucer diskaun peralatan dan rebat elektrik (RM643,000) dan baucer diskaun pembaikan kenderaan (RM31,000),” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Bagi pembaikan infrastruktur, Ismail Sabri berkata, senarai yang diberikan akan disemakn oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengikut jenis infrastruktur.

“Sekarang ini kita baru mendapat senarai dan akan disemak oleh pihak JKR seperti jalan raya, jambatan gantung, sama ada JKR ataupun KPLB, jadi begitu juga berkaitan rumah dan sebagainya. Beberapa jabatan terbabit, insyaAllah kita akan segerakan.

“Arahan saya perlu disegerakan kesemua bukan sahaja pemberian BWI dan lain-lain tetapi infrastuktur juga perlu disegerakan kerana mereka yang terbabit dengan banjir mengalami kesusahan dan kita tak mahu menambah kesusahan mereka apabila infrastruktur di kawasan masing masing juga terjejas dan rosak.

“Ini boleh menganggu mungkin dari segi aktiviti ekonomi mereka, jadi kalau boleh kita segerakan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *