Fasiliti Destinasi Pelancongan Di Lahad Datu Dinaiktaraf

Read Time:1 Minute, 9 Second

LAHAD DATU : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) akan menaik taraf fasiliti destinasi pelancongan yang terdapat di daerah ini.

Menterinya, Datuk Jafry Arifin berkata, ia melibatkan peruntukan kira-kira RM199,850 selari dengan usaha bagi membantu pengusaha pelancongan memastikan semua kemudahan infrastuktur di premis pelancongan dalam keadaan baik dan selesa untuk dikunjungi.

Beliau berkata demikian, dalam satu lawatan kerja ke Menara Kayangan dan Air Terjun Hutan Simpan Sapagaya Lahad Datu disini kelmarin.

Menara Kayangan dibina di atas Gunung Silam terletak 11 kilometer dari bandar Lahad Datu.

Menara pemerhatian ini menyajikan pemandangan alam semula jadi hutan simpan Sapagaya dan Teluk Darvel.

Terkini, usaha untuk mewartakan Taman Marin Teluk Darvel, pihak Taman Taman Sabah dalam proses menyediakan pelan cadangan sempadan warta bersama penyediaan borang permohonan tanah untuk dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur dan ini adalah proses persediaan untuk proses niat warta yang dijangka boleh dibuat pada hujung tahun ini.

Untuk rekod, menara itu berjaya menarik ramai pelancong tempatan mahupun luar negara. Walau bagaimanapun, sehingga kini kawasan terbabit masih tiada bekalan elektrik.

Untuk itu, Jafry telah meminta Jabatan Perhutanan untuk mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk menaiktaraf kemudahan infrastruktur agar tempat itu mampu diangkat menjadi destinasi pilihan dalam kalangan pelancong dari dalam dan mahupun luar negara kelak.

KePKAS sentiasa komited membantu dalam memberi sokongan kepada semua agensi, jabatan dan pengusaha pelancongan bagi merancakkan semula industri pelancongan di negeri itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *