Tiada Isu Berkaitan Pasca Banjir Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 7 Second

KOTA MARUDU : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada isu yang berkaitan pasca banjir di Sabah apabila semua mangsa banjir boleh pulang ke rumah masing-masing selepas lima hari dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya ini termasuklah bantuan yang diberikan oleh kerajaan iaitu Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 dan lain-lain sumbangan.

“Jika kita lihat, sebahagian mangsa yang dipindahkan ke PPS telah pun menerima bantuan BWI dan lain-lain sumbangan.  Ini menunjukkan apabila mereka berpindah ke PPS selama lima hari, mereka turut menerima segala bantuan yang dijanjikan kerajaan.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Kerajaan Sabah kerana berjaya menguruskan banjir dan sewaktu pasca banjir pun tiada isu berkaitan selain semua mangsa boleh pulang dengan bantuan yang diberikan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, ini menunjukkan kemampuan Pejabat Daerah terutamanya yang menjadi barisan hadapan kepada banjir ini selain kemampuan Pegawai Daerah yang menguruskan hal banjir dan juga selepas ataupun pasca banjir.

“Begitu juga dengan pengurusan bencana di peringkat negeri yang dipengerusikan oleh sekreteriat ataupun Setiausaha Kerajaan Negeri dan juga kerajaan negeri.

“Kita boleh lihat bahawa tidak ada isu yang timbul seperti satu dua negeri akibat daripada kelemahan daripada peringkat pengurusan banjir sehinggalah pasca banjir,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *