HomeUtamaMICA Kagum Dengan Keunikan Destinasi Pelancongan Sabah

MICA Kagum Dengan Keunikan Destinasi Pelancongan Sabah

Read Time:2 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA) telah menzahirkan rasa kagum dengan keunikan budaya dan destinasi pelancongan desa di negeri ini yang berpotensi menjadi destinasi percutian pilihan.

Dalam lawatan suai kenal ke Sabah, ahli-ahli MICA telah berkunjung ke beberapa lokasi tarikan yang popular bagi mengenali produk pelancongan Sabah, termasuk sebuah pelancongan berasaskan komuniti di Kundasang di mana mereka diberi kesempatan menikmati spa ikan semula jadi dan mempelajari tentang sistem ‘tagal’.

Pengalaman spa ikan turut dikongsikan di beberapa platform media sosial dan telah menarik minat rakyat Malaysia serta pengikut dari nagara China.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, berkata Sabah sentiasa mengetengahkan destinasi luar bandar bagi menawarkan produk pelancongan unik yang tidak didapati di tempat lain.

“Sistem ‘tagal’ misalnya, adalah konsep menarik yang menggabungkan budaya dan keperluan untuk melindungi alam sekitar. Banyak komuniti luar bandar di Sabah memulakan sistem tagal di kampung masing-masing dan ia telah menjadi tarikan popular di kalangan pengunjung,” katanya pada majlis MICA B2B Networking di sini, pada Isnin.

“Konsep pelancongan berasaskan komuniti memang giat diketengahkan di Sabah, dan saya sentiasa percaya bahawa permata pelancongan adalah di luar bandar, dengan kekayaan flora dan fauna, budaya, dan penduduknya yang mesra.

“Justeru itu, saya gembira dengan inisiatif MICA dalam membantu mempromosikan Sabah kepada pasaran China dan juga rakyat Malaysia di Semenanjung kerana pada masa ini, mereka adalah bakal pelancong kita,” tambahnya.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman; Presiden MICA, Datuk Dr Angie Ng; Presiden MICA Sabah Chapter, Eddie Chan; Pengerusi Majlis Perniagaan China Malaysia bagi Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Philip Yong; dan Timbalan Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Amirul Rizal.

MICA telah memilih Sabah sebagai destinasi pertama dalam kempen FOLIDAY mereka untuk pasaran domestik pada tahun 2022. Kempen ini memfokuskan pada 4F iaitu “Family, Friends, Fun, and Freebie”.

Dalam memuji usaha MICA, Joniston berkata terdapat keperluan bagi industri pelancongan untuk menghasilkan idea dan perkhidmatan inovatif seperti penjenamaan semula tarikan pelancong untuk menarik minat pengunjung tempatan serta menetapkan harga semula bilik penginapan hotel.

“Industri perlu kreatif dan inovatif untuk mencari cadangan nilai unik yang baharu untuk bertahan dan berkembang maju dalam waktu kegawatan. Pelancongan domestik adalah penggerak utama industri pelancongan sementara menunggu sempadan negara dibuka sepenuhnya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Lembaga Pelancongan Sabah telah melaksanakan pelbagai langkah, termasuk insentif pelancongan dan kempen promosi, bagi merancakkan dan menarik pelancong domestik.

Sementara itu, Dr Angie berkata konsep pelancongan berasaskan komuniti agak baru bagi mereka dan MICA berhasrat untuk memasukkannya dalam pakej destinasi Sabah mereka.

“Kami sangat teruja mempelajari konsep ini semasa lawatan kami ke sini. Sememangnya, komuniti luar bandar mempunyai pengetahuan tinggi tentang alam sekitar dan kami rasa Sabah adalah destinasi terbaik untuk diterokai pada tahun ini bagi mereka di Semenanjung,” katanya.

Tambahnya, MICA telah menggunakan banyak platform digital yang sedia ada untuk mempromosikan Sabah dan negeri-negeri lain di peringkat domestik dan antarabangsa, dengan matlamat untuk mewujudkan program pertukaran pelancongan.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya