Sabah FC Tidak Lepaskan Saddil Ramdani

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC tidak akan melepaskan pemain import dari Indonesia Saddil Ramdani kepada sebuah kelab Liga Serbia.

Pengurus pasukan Marzuki Nasir berkata, ini disebabkan pemain itu masih mempunyai kontrak bersama skuad Badak sehingga November tahun ini.

“Untuk makluman semua, kita memang ada menerima permohonan sebuah kelab dari Serbia  melalui seorang agen untuk melepaskan Saddil Ramdani tetapi kita menolak permintaan mereka disebabkan mereka mahu Saddil dilepaskan secara percuma.

“Selain itu, kita juga kesuntukkan masa untuk mencari pengganti bagi kouta Asia Tenggara, ini bukan mudah dan sekiranya percuma, saya rasa dalam bola sepak professional perlu ada yuran perpindahan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sesi latihan skuad ‘The Rhinos’ di Stadium Likas disini petang tadi.

Pengurus pasukan Marzuki Nasir

Marzuki berkata, saingan Liga Malaysia 2022 yang akan berlangsung tidak lama lagi juga akan turut menyukarkan pasukan untuk mencari pengganti sekiranya berlaku perpindahan.

“Saya telah bercakap dengan Saddil sendiri bahawa beliau komited untuk bermain bersama Sabah FC tahun ini.  Dia sekarang sudah berada di Kuala Lumpur untuk proses kuarantin dan akan menyertai pasukan pada 13 Januari ini untuk sesi latihan,” katanya.

Sementara itu, Marzuki berkata, persiapan Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini semakin baik apabila keserasian dikalangan pemain sudah semakin positif.

“Kita kini menunggu lagi beberapa pemain yang akan menyertai Sabah FC dan juga pemain import yang akan datang bermain untuk pasukan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sasaran Sabah FC untuk musim ini, Marzuki berkata, masih terlalu awal untuk meletakkan sebarang sasaran musim ini.

“Apa yang saya boleh katakan, musim ini kita mempunyai persediaan yang cukup baik selain pemain berpengalaman dan sudah tentu kita mahu lebih baik daripada tahun lalu,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *