Hajiji (tengah) bergambar beramai-ramai bersama para jemputan selepas pelancaran Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa Tahun Baharu Cina 2022 anjuran Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersatu Kota Kinabalu (USCCAKK) di SICC di sini hari ini.

GRS Komited Pastikan Pembangunan Sama Rata Semua Masyarakat Di Sabah

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan sama rata untuk semua masyarakat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai banyak kejayaan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pentadbiran dengan mandat penuh daripada rakyat selepas pilihan raya.

“Saya berterima kasih kepada rakyat khususnya masyarakat Cina atas sokongan berterusan mereka dengan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk membawa kemakmuran kepada Sabah,” katanya semasa pelancaran Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa Tahun Baharu Cina 2022 anjuran Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersatu Kota Kinabalu (USCCAKK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hajiji berkata adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar rakyat terus menyokong dengan menjadi rakan kongsi dalam memajukan untuk merealisasikan agenda pembangunan kerajaan.

“Adalah aspirasi saya sebagai Ketua Menteri untuk melakarkan laluan pembangunan untuk Sabah dan rakyat. Untuk tujuan ini, kami telah melancarkan pelan pembangunan lima tahun hala tuju, Hala Tuju Sabah Maju Jaya tahun lepas,” katanya.

Hajiji mengulangi bahawa Kerajaan Negeri telah memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat terbukti daripada peruntukan yang besar RM164.12 juta di bawah Bajet 2022 Negeri untuk agensi berkaitan badan pendidikan dan agama.

“Selaras dengan semangat Kekeluargaan Malaysia, peruntukan ini adalah untuk manfaat semua agama dan kaum di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan terbesar yang pernah diluluskan oleh Kerajaan Negeri berjumlah RM47 juta untuk badan agama bukan Islam dan sekolah vernakular serta mubaligh tahun ini juga mencerminkan keikhlasan Kerajaan Negeri untuk menjaga kebajikan semua rakyat di Sabah.

Sehubungan dengan Tahun Baru Cina tahun ini, beliau percaya seluruh rakyat Malaysia tidak sabar untuk menyambut Tahun Harimau, yang terkenal dengan kekuatannya, kehebatan dan keberanian, terutamanya selepas melalui cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya daripada pandemik COVID-19.

“Melihat ke hadapan, saya pasti jangkaan untuk keadaan menjadi lebih baik adalah lebih tinggi tahun ini,” katanya.

Hajiji juga memuji USCCAKK atas komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk menganjurkan Festival semasa pra-COVID-19 tahun sebelum ini.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan/Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, Adun Dilantik Datuk Yong Teck Lee, Presiden USCCAKK Datuk Susan Wong, Pengerusi Penganjur Datuk Chua Soon Ping, Presiden Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah (SUCCC) Tan Sri Andrew Liew, Presiden Gabungan Persatuan Cina Malaysia (FCAS) Tan Sri T C Goh dan pemimpin masyarakat Cina.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *